Pengedar dadah Perancis terlepas hukuman mati di Indonesia


Hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Felix Dorfin ditukar kepada hukuman penjara 19 tahun. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2019.

SEORANG rakyat Perancis terlepas hukuman mati apabila mahkamah Indonesia mengubah hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya kepada penjara 19 tahun, kata peguamnya.

Keputusan dibuat tidak sampai tiga bulan selepas mahkamah rendah mejatuhkan hukuman mati ke atas Felix Dorfin, 35.

Dorfin ditangkap di lapangan terbang Lombok tahun lepas kerana membawa 3kg dadah ecstasy dan amphetamine tetapi menegaskan tidak tahu isi kandungan begnya.

Peguamnya, Denny Nur Indra mengesahkan keputusan mahkamah itu namun tidak menyatakan mengapa hukuman ditukar kepada hukuman penjara.

Pendakwa raya Ginung Pratidina berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan merayu keputusan mahkamah itu atau tidak.

Lelaki warga Perancis itu menjadi tajuk utama akhbar Januari lalu apabila meloloskan diri dari penjara di Lombok tetapi berjaya ditemui semula dua minggu kemudian.

Seorang anggota polis wanita ditahan kerana membantu Dorfin melarikan diri.

Indra berkata anak guamnya itu hanya mangsa keadaan dan tidak tahu sebenarnya membawa dadah.

Kes ini mendapat perhatian Kementerian Luar Perancis ketika hukuman mati dijatuhkan awal tahun ini kerana negara itu menentang hukuman mati. – AFP, 2 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen