PELAN Putrajaya untuk menghapuskan jalan bertol di Lembah Klang dengan membeli empat konsesi lebuh raya memerlukan perbincangan lanjut, kata ahli Majlis Tindakan Ekonomi Jomo Kwame Sundaram.
“Mengenai isu tol, saya rasa kita perlu berbincang mengenainya. Tetapi ini bukan tempat yang baik untuk membincangkannya,” kata Jomo selepas hadir pada perbincangan berhubung keselamatan makanan di Kuala Lumpur.
Jomo ditanya mengenai pandangan beliau berhubung usul menghapuskan tol serta pelancaran semula Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sebelum ini tertangguh ekoran kos tinggi.
“Saya fikir perkara ini amat penting. Saya perlu membangkitkan isu ini. Anda tahu pandangan saya mengenai ECRL,” katanya.
Bulan lepas, setiausaha politik Menteri Kewangan Tony Pua berkata kerajaan tidak perlu mengeluarkan wang untuk memperoleh konsesi empat lebih raya itu yang menelan kos RM6.2 bilion.
Kerajaan akan menggunakan kaedah mengutip caj kesesakana bagi membiayai pengambilalihan lebuh raya itu.
Beliau berkata pemilikan itu yang dibantah kalangan pengkritik, tidak akan menambah hutang kerajaan kerana caj itu akan dikumpulkan bagi membiayai pembelian konsesi tersebut.
Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Shah Alam Expressway (KESAS) dan Terowong SMART.
Pua berkata tawaran telah dibuat pada 21 Jun 2019, dan telah diterima oleh Lembaga Pengarah Gamuda Bhd dan syarikat konsesi tol yang terlibat.
Tindakan lanjut adalah menunggu kelulusan pemegang saham konsesi, serta kelulusan akhir Kabinet akhir sebelum dimuktamadkan, kata Pua. – 2 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen