Saya belum terima surat dari lembaga disiplin PKR, kata Amirudin


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang juga pengerusi PKR Selangor berkata beliau belum terima surat amaran daripada berhubung kenyataannya berkaitan video seks. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Ogos, 2019.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari berkata beliau masih belum menerima surat daripada Lembaga Disiplin PKR berhubung kenyataannya berkaitan video seks melibatkan seorang menteri.

“Saya belum terima surat atau dipanggil untuk beri penjelasan mengenai perkara itu,” kata pengerusi PKR Selangor itu pada majlis di Setia Alam pagi tadi.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini berkata akan Amirudin dan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak akan dipanggil berhubung kenyataan mereka berkaitan video seks itu.

“Lembaga Disiplin telah diminta menghubungi saudara Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, YAB Amirudin Shari dan beberapa anggota parti yang lain. Mereka akan diminta memberi penjelasan berkenaan kenyataan-kenyataan mereka baru-baru ini, berkait isu video tular,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menerusi kenyataan 24 Julai lalu.

Farhash dipercayai akan diminta menjelaskan kenyataan “semburit”- bermaksud persetubuhan sesama lelaki- yang diucapnya semasa dibebaskan dari tahanan reman di Balai Polis Dang Wangi baru-baru ini.

Manakala Amirudin dipanggil berkenaan kenyataannya bahawa dalang di sebalik video seks tersebut adalah “orang yang pernah melalui zaman pahit ketika isu skandal serupa timbul 20 tahun dahulu”.

Pada Jun satu rakaman video seks membabitkan bekas ketua PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz bersama seorang lelaki didakwa mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali telah tersebar.

Haziq mengaku beliau salah seorang pelaku dalam video berkenaan tetapi Azmin menafikan dirinya adalah pasangan pemuda itu.

Haziq dan Farhash adalah antara individu yang ditahan bagi siasatan, namun kedua-duanya sudah dibebaskan. – 2 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen