ENAM kanak-kanak berumur antara empat hingga 10 tahun meninggal dunia selepas dipanah petir ketika membuat teh di bawah pokok mangga di utara-timur Guinea pada Rabu, kata seorang saksi.
Ribut membadai sejurus sebelum 7 petang (1900 GMT) di bandar Siguiri, dekat dengan sempadan Mali, kata seorang penduduk yang menjadi saksi Mamadi Doumbouya kepada AFP.
Beliau berkata seramai lapan kanak-kanak bersama dua ibu mereka, berada di bawah pokok mangga di belakang rumah.
“Saya mengajak mereka berlindung di rumah saya. Ibu mereka bergegas ke dalam rumah tetapi anak-anak tinggal untuk membuat teh terakhir,” katanya.
Kilat kemudian memanah pokok mangga dan apabila Doumbouya bergegas keluar, semua kanak-kanak terbaring di tanah dan tidak sedarkan diri, katanya melalui perbualan telefon.
Enam kanak-kanak - lima perempuan dan seorang budak lelaki berusia empat tahun - meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, katanya.
Seorang doktor dari Hospital Siguiri berkata enam mayat kanak-kanak dibawa ke sana pada petang kejadian dan dua lagi diletakkan di bawah pemerhatian selama beberapa hari.
Afrika Barat sedang mengalami musim hujan.
Pada Sabtu tanah runtuh berlaku di sebuah lombong emas di kawasan yang sama dengan kawasan dilanda ribut pada Rabu, membunuh empat orang termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan ibunya.
Mangsa bekerja di bekas lombong emas yang diharamkan kerana risiko tanah runtuh dalam hujan lebat tetapi ramai yang secara sembunyi ke sana, kata seorang pegawai Palang Merah. – AFP, 2 Ogos, 2019.
Komen