Polis India beri amaran pelanggan tolak penghantar makanan Islam


Kontroversi tercetus apabila seorang pelanggan menulis di Twitter mengatakan beliau membatalkan tempahan dari Zomato kerana seorang lelaki bukan Hindu menghantar makanannya. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2019.

SEORANG lelaki Hindu yang menolak penghantaran makanan Islam diarah berkelakuan baik oleh polis India, dengan pegawai mengatakan beliau bertindak bertentangan dengan perlembagaan.

Kontroversi tercetus apabila seorang pelanggan di Madhya Pradesh menulis di Twitter pada tengah hari Selasa mengatakan beliau membatalkan tempahan dari Zomato kerana seorang lelaki bukan Hindu menghantar makanannya.

Zomato - syarikat perkhidmatan penghantaran terkenal di sekitar bandar di India - membalasnya semula dengan menulis di Twitter pada Rabu mengatakan: “Makanan tidak mempunyai agama, Ia adalah agama.”

Kenyataan itu disukai lebih 80,000 kali di Twitter.

Penguasa polis Jabalpur, Amit Singh berkata pelanggan itu diminta membayar bon 100,000 rupee (AS$1,450).

“Jika beliau mengulangi tindakan sedemikian dalam tempoh enam bulan akan datang, beliau boleh dipenjarakan atau kehilangan wang bonnya,” kata Singh kepada AFP.

Tingkah lakunya “bertentangan dengan perlembagaan dan mecetuskan perselisihan antara masyarakat”, tambahnya.

Pihak berkuasa India boleh bertindak terhadap individu di bawah Kod Prosedur Jenayah atas sebab yang berbeza termasuk apabila mereka fikir seseorang boleh menyemai perselisihan awam dengan tindakan itu.

India adalah negara sekular dengan penekanan tegas terhadap persamaan dan persaudaraan dalam perlembagaannya.

Pengasas Zomato, Deepinder Goyal turut menulis di Twitter dengan menegaskan dasar syarikat berhubung kesamaan terhadap agama.

Syarikat itu memperoleh sokongan daripada pesaingnya, Uber Eats dan ahli politik seperti bekas menteri kewangan P Chidambaram yang mengatakan perdebatan itu memberi inspirasi kepadanya untuk mencuba penghantaran makanan ke rumah.

Kontroversi itu berlaku ketika sensitiviti agama semakin meningkat, dengan Perdana Menteri Narendra Modi dituduh menyokong agenda Hindu sejak berkuasa pada 2014.

Penghantar makanan Zomato, yang hanya bernama Faiyaz, memberitahu agensi berita Press Trust of India yang kejadian itu “menyakitinya”. – AFP, 2 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen