Arab Saudi benarkan wanita ke luar negara tanpa kebenaran mahram


Kaum wanita di Arab Saudi sekian lama memerlukan kebenaran daripada penjaga lelaki mereka - suami, bapa dan saudara lelaki lain - untuk berkahwin, memperbaharui pasport atau ke luar negara. – Gambar EPA, 2 Ogos, 2019.

ARAB Saudi akan membenarkan kaum wanita di sana memperoleh pasport dan mengembara ke luar negara tanpa kebenaran saudara lelaki atau mahram, kata kerajaan pada Khamis, menamatkan sekatan lama yang menerima kritikan hebat antarabangsa.

“Pasport akan diberikan kepada mana-mana warga Arab Saudi yang mengemukakan permohonan,” kata pemerintah yang diterbitkan dalam gazet rasmi Umm Al Qura.

Peraturan ini akan terpakai bagi wanita berusia 21 tahun ke atas, lapor akhbar pro-pemerintah Okaz dan media tempatan lain yang memetik kenyataan pihak berkuasa kanan.

Kaum wanita di negara itu sekian lama memerlukan kebenaran daripada penjaga lelaki mereka - suami, bapa dan saudara lelaki lain - untuk berkahwin, memperbaharui pasport atau ke luar negara.

Aktivis hak wanita berkempen selama beberapa dekad menentang sistem “penjaga”, yang menjadikan wanita sebagai individu bawah umur sepanjang hidup mereka.

Keputusan itu dibuat ketika usaha pemulihan liberalisasi yang meluas diterajui oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman - penguasa de facto kerajaan - yang bertujuan untuk mengubah keadaan konservatif, yang sekian lama dikritik berhubung layanan terhadap wanita.

Pembaharuan beliau termasuk keputusan yang sangat diraikan iaitu membatalkan larangan pemandu wanita pada Jun tahun lepas, membenarkan wanita menghadiri perlawanan bola sepak dan bekerja.

Tetapi ketika mengubah kehidupan ramai wanita, pengkritik mengatakan pembaharuan itu hanyalah kosmetik bagi kebanyakan orang lain selagi kerajaan tidak menghapuskan sistem “penjagaan” yang memberikan kuasa besar kepada lelaki terhadap saudara perempuan mereka. – AFP, 2 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen