TIDAK sampai separuh orang Melayu sokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, berdasarkan kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE).
Kajian itu juga mendapati tidak sampai separuh orang Melayu yakin Anwar mampu menambah sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan.
IDE, sebuah badan penyelidik di bawah kerajaan Selangor, membentangkan dapatan itu pada pemukiman PKR di Port Dickson baru-baru ini.
Slaid yang dilihat The Malaysian Insight menunjukkan hanya 44% orang Melayu bersetuju Anwar boleh mengukuhkan sokongan Melayu-Islam kepada PH.
Responden kaum lain pula menunjukkan lebih keyakinan yang Anwar mampu memperbaiki sentimen Melayu terhadap PH iaitu sebanyak 62% (Cina) dan 57% (India).
Tinjauan “2019 Survey Malaysia: Mood of the Nation” melibatkan 1,597 responden dan dijalankan pada 28 hingga 30 Jun.
Dari segi jumlah keseluruhan, responden yang berpendapat Anwar boleh memperbaiki kedudukan PH di kalangan orang Melayu atau sebaliknya adalah sama banyak.
Kajian itu juga bertanya kepada responden tentang calon pilihan mereka untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Dalam kalangan orang Melayu, 37% menyokong Anwar sebagai perdana menteri. Jumlah ini lebih rendah berbanding sentimen keseluruhan responden yang digabungkan pada 45%.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu, menerima sokongan 21% daripada responden Melayu, dan sokongan keseluruhan sebanyak 16%.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang dituduh terlibat dalam skandal seks, mendapat hanya sedikit sokongan daripada responden Melayu sebanyak 8% berbanding 11% sokongan keseluruhan.
Anwar bakal menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri mengikut perjanjian antara semua parti dalam PH.
Gabungan itu menang pilihan raya umum tahun lalu dan mengambil alih kerajaan persekutuan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, tetapi menang kurang 30% undi Melayu.
Sejak jadi kerajaan, ia berusaha meningkatkan sokongan orang Melayu tetapi pada masa sama membangkitkan kemarahan mereka susulan beberapa pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan institusi penting.
Dalam tinjauan yang sama dijalankan oleh Merdeka Centre bagi kajian pendapat pada Jun, tahap populariti Dr Mahathir dalam kalangan orang Melayu adalah 50%, berbanding 77% kaum Cina dan 74% kaum India. – 2 Ogos, 2019.

Komen