Pertukaran tempat duduk Najib bukan arahan saya, kata Dr Mahathir  


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata susunan tempat duduk untuk istiadat pertabalan Agong diuruskan pihak istana.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Ogos, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau tidak tahu perubahan tempat duduk Najib Razak ketika istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

Menurutnya, kedudukan tetamu dan jemputan ke istiadat itu dikendalikan pihak Istana Negara.

“Saya tidak tahu dan saya tak nampak apa-apa pun, itulah tempat dia kot. Itu istana punya kerja bukan saya,” katanya pada Majlis Jamuan Malam Amal dan pelancaran Tabung Jasamu DiKenang Ex-Kota Bharu Teacher’s College, di Putrajaya, malam ini.

Perubahan tempat duduk pada saat akhir itu menyebabkan Najib terlepas istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana tidak sempat mendapatkan pakaian istiadat.

Semalam Najib melalui posting di Facebooknya berkata, beliau menerima panggilan pada pukul 6.30 pagi Selasa memaklumkan pertukaran itu.

“Sepatutnya duduk di tempat ke-10 sebagai bekas Perdana Menteri mengikut protokol istiadat tetapi ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang,” katanya.

Menurut beliau, pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas perdana menteri  tidak sama dan beliau tidak sempat untuk mengambilnya dari Pekan, Pahang.

“Pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas PM tak sama. Setiap jawatan ada protokolnya. Masa itu dah tak sempat nak ambil pakaian dari Pekan.”

Menurut laporan, Najib dan isterinya Rosmah Mansor sepatutnya duduk di barisan sama dengan Dr Mahathir, isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya, Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bekas pembantu Najib, Isham Jalil, menuduh Putrajaya mengubah susunan tempat duduk. – 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen