25 maut Houthi sasar perarakan tentera di Aden, Yaman


Tentera Yaman meningkatkan rondaan di kawasan Aden susulan serangan kumpulan Houthi. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2019.

SEKURANG-kurangnya 25 anggota terbunuh pada Khamis dalam dua serangan puak Houthi terhadap perarakan tentera di Aden, Yaman, lapor agensi berita Anadolu memetik sumber tentera.

“Kumpulan Houthi menyerang perbarisan tentera di kem Al-Jala di daerah Al-Buraiqeh, ” kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.

Menurut sumber, serangan itu menyebabkan 25 tentera maut termasuk Brigadier Jeneral Mounir al-Yafie.

Terdahulu, tiga anggota keselamatan terbunuh dan berbelas lagi cedera dalam satu serangan bom kereta ke atas sebuah balai polis di daerah Sheikh Othman, di Aden.

Yaman terhumban ke kancah perang saudara pada 2014 apabila puak Houthi menawan kebanyakan kawasan di negara itu termasuk ibu negara, Sana’a, memaksa kerajaan berundur ke Arab Saudi.

Setahun kemudian, Arab Saudi dan beberapa sekutu Arabnya melancarkan serangan udara besar-besaran bertujuan menawan kembali kawasan yang dikuasai Houthi.

Perang saudara itu menyebabkan banyak kemusnahan infrastruktur, termasuk sistem kesihatan dan kumbahan, mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan keadaan di sana sebagai ‘satu bencana kemanusiaan terburuk pada zaman moden’.  – Bernama, 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen