Adun Selangor bincang undang-undang tukar agama anak


Nabihah Hamid

Perbincangan malam ini dibuat selepas pembentangan rang undang-undang pindaan itu ditangguhkan di Dewan Undangan Negeri, kata sumber kerajaan negeri dan Adun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2019.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat negeri malam ini untuk berbincang mengenai cadangan pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor, kata sumber.

Perbincangan malam ini dibuat selepas pembentangan rang undang-undang pindaan itu ditangguhkan di Dewan Undangan Negeri (DUN), kata sumber kerajaan negeri dan Adun.

Pindaan yang dicadangkan menyentuh tafsiran “ibu bapa” pada peruntukan undang-undang mengenai pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, sama seperti Seksyen 88A Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang mencetuskan polemik beberapa tahun lalu.

Pertemuan malam ini berlangsung di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Shah Alam.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight cadangan pindaan enakmen itu tidak dapat dibentang minggu ini selepas DUN hanya bersidang dua hari.

“Dua hari saja dapat bersidang. Usul sepatutnya dibentang dan dibahaskan tetapi persidangan ditangguhkan,” kata seorang Adun Selangor, yang mengesahkan pertemuan malam ini.

DUN Selangor bersidang minggu ini pada Isnin dan ditangguhkan semalam walaupun ditetapkan berlangsung sehingga 9 Ogos. Selasa adalah cuti umum sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Pertemuan malam ini berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Ogos, 2019.

The Malaysian Insight difahamkan perjumpaan malam ini bertujuan mendapatkan sokongan dan kesepakatan dalam kalangan wakil rakyat beragama Islam mengenai cadangan pindaan ke atas enakmen pentadbiran Islam itu.

“Ia penting untuk menerangkan rang undang-undang ini kerana melibatkan soal martabat Islam,” kata sumber dari PKR.

The Malaysian Insight juga difahamkan satu perjumpaan sama turut diadakan minggu lalu, juga melibatkan hanya wakil rakyat PKR.

“Minggu lepas lebih pada penerangan sebelum perkara ini dibahaskan. Malam ini lebih terperinci,” kata sumber yang rapat dengan kerajaan negeri Selangor itu. 

Awal hari ini, Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail membayangkan ada pergolakan dalam kerajaan Selangor selepas wakil rakyat Pakatan Harapan didakwanya tidak sepakat menyokong pindaan itu.

“Adakah berlaku pergolakan sesama Yang Berhormat kerajaan negeri Selangor sekarang ini?

“Bayangkan hari ini seramai 50 orang Yang Berhormat kerajaan negeri tetapi masih tidak mampu sepakat dalam membawa usul yang penting dibawa oleh menteri besar.

“Saya mohon supaya selepas ini jika ada usul yang membabitkan pindaan untuk memartabatkan agama Islam haruslah disokong baik di pihak kerajaan dan juga pembangkang,” tulis Adun Sungai Air Tawar itu di Facebook. – 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen