RWANDA bertindak menutup pintu sempadannya dengan Republik Demokratik Congo (DRC) selepas kes ketiga wabak Ebola dikesan di bandar sempadan Goma, menurut pejabat presiden Congo pada Khamis.
Pejabat berkenaan dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan “keputusan unilateral oleh pihak berkuasa Rwanda” yang memberi kesan kepada penduduk di kedua-dua negara terbabit melintasi sempadan sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.
Bandar Goma yang mempunyai dua juta penduduk serta merupakan hab pengangkutan utama, terletak di sempadan bandar Gisenyi, Rwanda yang memiliki populasi lebih 85,000 penduduk.
Kebanyakan rakyat di sempadan kedua-dua negara menyeberangi sempadan untuk bekerja dan menghantar anak mereka ke sekolah.
“Berdasarkan keputusan unilateral oleh pihak berkuasa Rwanda, penduduk di negara itu tidak dapat ke Goma dan rakyat DRC tidak dapat meninggalkan Gisenyo namun dihalang daripada pulang ke rumah mereka,” menurut kenyataan itu.
“Keputusan itu menjejaskan sebilangan besar rakyat Congo yang tinggal di Gisenyi dan bekerja di Goma.”
Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas kes ketiga wabak Ebola direkodkan di Goma.
Sejak 1 Ogos, 2018, wabak berkenaan meragut 1,803 nyawa. – AFP, 1 Ogos, 2019.
Komen