37 cedera kebakaran loji ExxonMobil di AS


Loji ExxonMobil di Baytown, Houston, Texas berupaya memproses sehingga 584,000 tong minyak mentah setiap hari. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2019.

SERAMAI 37 orang cedera dalam kejadian kebakaran di loji ExxonMobil di Baytown, kira-kira 40 kilometer di pusat bandar Houston, Texas, Amerika Syarikat, lapor agensi berita Xinhua.

Pengurus loji Jason Duncan berkata semua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan kebakaran berpunca daripada letupan campuran hidrokarbon terdiri daripada propana dan propilena.

“Kami sedang berusaha mengawal kebakaran dan menutup kawasan terbabit untuk mengasingkan sumber yang mencetuskan kebakaran,” katanya pada sidang media di Houston, Rabu.

Propilena digunakan untuk menghasilkan produk mainan, elektronik dan kenderaan selain turut terkandung dalam kira-kira 25 peratus produk plastik di pasaran hari ini.

Bandar Baytown mengeluarkan amaran berjaga-jaga untuk mencari perlindungan di kawasan yang selamat di ExxonMobil.

Menurut laman web ExxonMobil, Loji Baytown Olefins mula beroperasi pada 1979 dan merupakan antara loji etilena terbesar di dunia.

Loji itu berupaya memproses sehingga 584,000 tong minyak mentah setiap hari. – Bernama, 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen