Media AS dakwa anak Osama bin Laden dibunuh


The New York Times dan NBC News yang memetik sumber melaporkan Hamza bin Laden mati dibunuh. – Gambar fail AFP, 1 Ogos, 2019.

ANAK Osama bin Laden, Hamza mati dibunuh, lapor media Amerika Syarikat (AS) semalam.

NBC News melaporkan perkara itu disahkan oleh tiga pegawai AS yang mendakwa mereka mempunyai maklumat mengenai kematian Hamza bin Laden. Bagaimanapun, sumber NBC itu tidak menyatakan tempat dan tarikh kematian Hamza.

The New York Times juga memetik dua pegawai berkata Hamza disahkan mati dibunuh dua tahun lalu dalam operasi melibatkan AS.

Presiden Donald Trump ketika ditanya enggan memberi sebarang komen mengenai laporan NBC.

“Saya tidak mahu komen,” katanya.

Kedua-dua laporan mencadangkan Hamza mungkin dibunuh sebelum Jabatan Negara AS mengumumkan ganjaran AS1 juta ke atas Hamza.

Anak ke-15 daripada 20 anak Osama bin Laden dengan isteri ketiganya itu berusia dalam lingkungan 30 tahun.

Jabatan Negara AS ketika mengumumkan ganjaran tersebut mendakwa Hamza bakal menjadi pemimpin baharu dalam rangkaian Al-Qaeda.

Hamza yang juga diberi jolokan “putera jihad” pernah menyeru pengikutnya menerusi mesej berbentuk video agar menyerang AS dan negara sekutu untuk menuntut bela kematian bapanya yang dibunuh tentera AS pada Mei 2011, kata jabatan itu lagi.

Jabatan Negara AS turut berkata ia melalui dokumen yang dirampas dalam serbuan di rumah Osama di Abbottabad, Hamza dilatih untuk menjadi pewaris pimpinan Al-Qaeda.

Selain itu, tentera AS juga menjumpai video perkahwinan Hamza dengan anak pemimpin kanan Al-Qaeda yang dipercayai berlangsung di Iran.

Keberadaan Hamza tidak pernah diketahui. Dia dipercayai dikenakan tahanan dalam rumah di Iran tetapi terdapat laporan mengatakan dia mungkin tinggal di Afghanistan, Pakistan dan Syria. – AFP, 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen