PELOMBONG bauksit di Pahang ingin tahu bila Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) agar mereka dapat meneruskan perlombongan.
Mereka turut mendakwa mengalami kerugian selepas perintah moratorium dilaksanakan tahun lalu untuk menghentikan aktiviti perlombongan.
Moratorium berkenaan bagaimanapun ditamatkan pada 31 Mac namun menurut Xavier, mereka hanya boleh memulakan operasi selepas SOP dikeluarkan.
Naib Presiden Persatuan Pengusaha Mineral Pahang Yap Soon Huat berkata, beliau dimaklumkan kementerian berkenaan bahawa SOP masih belum lengkap.
“Kami masih belum menerima sebarang SOP daripada mereka (kementerian). Kami juga masih tiada maklumat mengenainya.
“Kami kecewa dengan penangguhan ini kerana kami mengalami kerugian. Kami masih ada banyak stok di tapak simpanan.
“Kami juga perlu membayar sewa dan masih tidak tahu berapa lama lagi perlu tunggu. Adakah dua bulan atau dua tahun?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Xavier sebelum ini berkata, aktiviti perlombongan boleh dijalankan hanya selepas prosedur pentadbiran menarik balik arahan hentikan perlombongan bauksit yang dikeluarkan pada Januari lalu siap.
Beliau juga berkata kerajaan hanya boleh memberi kebenaran untuk menyambung semula aktiviti itu apabila semua pelombong mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kementerian.
Yap berkata terdapat lebih 10 pelombong berlesen yang masih menunggu SOP.
“Mereka yang sah adalah yang memiliki Lesen Melombong (ML) dan Lesen Melombong Tuanpunya (PML) yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

“PML dikeluarkan kepada mereka dalam sektor swasta yang memiliki tanah dan mereka yang memiliki ML bermakna tanah berkenaan milik kerajaan negeri.”
Katanya pelombong yang memiliki ML dan PML tidak boleh meneruskan perlombongan kerana kekurangan SOP dan mereka kini tersepit.
“Sudah banyak kali kami bertanya kepada kementerian mengenai SOP dan mereka hanya cakap ia masih dalam proses.
“Kami hubungi mereka lagi minggu lalu dan jawapan yang sama diberikan.
“Oleh kerana SOP belum siap Oejabat Tanah dan Galian tidak boleh memproses permohonan kami. Mereka jua tidak tahu apa yang ditambah dalam SOP,” katanya.
Yap berkata, pada April lalu mereka mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan dan kementerian berkata SOP akan siap dalam tempoh dua bulan, namun hingga kini ia masih belum siap.
“Kami tidak ada masalah untuk mematuhi SOP. Tetapi mereka juga perlu melihat kepada aspek penguatkuasaan (perlombongan haram).
“Tiada guna untuk mereka pinda SOP sekiranya kurang penguatkuasaan,” katanya.
Sementara itu, Bendahari Persatuan Industri Perlombongan Pahang Teh Teck See berkata, pihaknya masih belum menerima apa-apa daripada kementerian dan diminta untuk tunggu sejak April.
“Kami menunggu dengan sabar, tetapi masih tiada perkembangan mengenai SOP.
“Kami ingatkan mereka mungkin akan maklumkan kepada Pejabat Tanah dan Galian, tetapi pihak berkenaan juga tidak tahu apa-apa. Kami tidak pasti sama ada ia sudah lengkap atau tidak,” katanya.
“Teh berkata mereka mengalami kerugian yang sangat besar.
“Kami ada semua dokumen seperti ML dan PML, namun kami masih tidak boleh beroperasi.
“Kami sudah oenat dan kami harap akan dapat SOP secepat mungkin,” katanya.
The Malaysian Insight cuba menghubungi pihak kementerian dan sedang menunggu maklum balas. – 1 Ogos, 2019.
Komen