KEMATIAN Gopal Krisnan Rajalinggam, 21, ketika dalam tahanan reman kelmarin tiada kaitan dengan anggota polis, kata Abdul Hamid Bador.
“Kalau anggota polis terlibat sudah tentu saya akan dimaklumkan dengan segera. Tiada unsur jenayah atau khianat dalam kes ini.
“Saya akan maklumkan kepada media kalau betul ada, saya akan telus,” kata ketua polis negara itu selepas merasmikan satu majlis di Maktab Polis DiRaja Malaysia di Cheras, hari ini.
Semalam, Presiden Persatuan Tamilar Kural Malaysia, David Marshel mendakwa Gopal meninggal dunia di Hospital Sungai Petani jam 2.30 petang Selasa selepas menerima rawatan untuk penyakit yang tidak diketahui sejak minggu lepas.
Ibunya Sakhti Ramakrisnan berkata semasa beliau melawat anaknya di hospital, anaknya itu tidak sedarkan diri.
Sakhti mendakwa anaknya cedera akibat dipukul berulang kali oleh warden penjara, seperti yang pernah diadukan kepadanya oleh anaknya sendiri.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzly Abu Shah berkata bedah siasat menunjukkan Gopal meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada injap jantung.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan luaran dan unsur jenayah ke atas si mati. Punca kematian adalah disebabkan jangkitan kuman pada injap jantung si mati,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar oleh pakar forensik, Dr Mohd Suhaini Mohd Noor bermula 9.30 pagi semalam dan berakhir 1.30 petang.
Teman wanita Gopal, Navamallika Tan Sze Lin, 20 membuat laporan polis berhubung kematian itu kelmarin. Dalam laporan tersebut Tan berkata pada 4 Jun lalu ketika melawat bersama ibu Gopal di penjara, teman lelakinya itu mendakwa dia dipukul warden penjara.
“Gopal menangis semasa beritahu kami dia dipukul di kepala. Dia juga beritahu warden yang dia demam dan muntah-muntah.
“Warden kemudian minta Gopal berguling atas jalan kerana tak percaya dia sakit,” menurut laporan polis wanita itu.
Gopal ditahan di penjara sejak 12 Mei lalu sementara menunggu kes bersabit tuduhan memiliki dadah disebut di mahkamah.– 1 Ogos, 2019.
Komen