Presiden sementara Tunisia tandatangan dekri pilihan raya awal


Presiden sementara Tunisia Mohamed Ennaceur pada Rabu menandatangani satu dekri bagi mengadakan pilihan raya presiden pada 2019. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2019.

PRESIDEN sementara Tunisia Mohamed Ennaceur pada Rabu menandatangani satu dekri bagi mengadakan pilihan raya presiden pada 2019, lapor agensi berita China  Xinhua memetik Tunis Afrique Presse (TAP).

Presiden Pihak Berkuasa Tinggi bagi Pilihan Raya Bebas (ISIE) Nabil Baffoun pada Selasa telah mengumumkan bahawa satu pilihan raya presiden awal akan diadakan pada 15 September 2019 manakala penamaan calon akan dibuka dari 2 hingga 9 Ogos.

Pengundian bagi rakyat Tunisia yang menetap di luar negara akan berlangsung pada 13 hingga 15 September. Keputusan awal pilihan raya presiden itu akan diumum pada 17 September 2019.

Sekiranya tiada calon yang memperoleh majoriti undi mutlak dalam pusingan pertama, pusingan kedua undian akan diadakan dalam tempoh dua minggu selepas pengumuman keputusan pusingan pertama.

Susulan kematian Presiden Tunisia Beji Caid Essebsi, Presiden Dewan Perwakilan Rakyat Mohamed Ennaceur telah mengangkat sumpah sebagai pemangku presiden republik itu selama 45 hari dan tempoh maksimum 90 hari.

Dalam tempoh itu, pilihan raya presiden perlu diadakan mengikut perlembagaan negara. – Bernama, 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen