KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador bersedia untuk berjumpa M Indira Gandhi dalam usaha polis mengesan bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah dan anak perempuannya Prasana Diksa.
“Saya sedia berjumpa dengan emaknya kerana saya beri perhatian peribadi kepada kes ini,” katanya selepas merasmikan sebuah majlis di Pusat Latihan Polis di Cheras tengahari tadi.
Isnin lepas, Hamid berkata polis sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan Riduan yang melanggar perintah mahkamah supaya mengembalikan Prasana yang berusia 11 tahun kepada Indira Gandhi.
Sejak 10 tahun lepas, Indira Gandhi mengheret kes tukar agama anak-anaknya dilakukan Riduan ke atas Prasana dan dua lagi anaknya tanpa kebenarannya.
Januari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan mengesahkan tindakan Riduan itu tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran Indira.
Indira pada minggu lepas membuat laporan polis mendakwa Riduan menyembunyikan diri dengan bantuan penyokong penceramah kontroversi Zakir Naik dan puak pemisah di selatan Thailand.
Bagaimanapun, Hamid berkata polis tidak ada petunjuk berkaitan dakwaan itu.
Hamid hari ini berkata yang “terdapat beberapa perkara baharu” dimasukkan ke dalam pasukan petugas khas polis untuk mengesan Riduan.
“Jumlah anggota ditambah ke dalam pasukan itu. Saya juga berjumpa pengarah dan pengarah lain untuk siasatan,” katanya merujuk kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Huzir Mohamed.
“Kita mahu mengesan ayah dan budak perempuan itu seperti mana diarahkan mahkamah. Itu kerja kita,” tambah Hamid. – 1 Ogos, 2019.
Komen