PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad nafi kerajaan menangguhkan cadangan untuk ambil alih empat raya milik Gamuda Berhad kerana tidak dapat persetujuan jemaah menteri, seperti dilaporkan media di Singapura semalam.
Dr Mahathir berkata cadangan itu ditangguhkan kerana Kabinet perlu masa untuk memutuskan bila pengambilalihan itu akan dilaksanakan.
“Tidak, tidak ada seperti itu. Kabinet diberitahu tentang rancangan ini oleh menteri kewangan dan kita tidak kata tidak.
“Tidak itu kerana tarikh pelaksanaan akan diputuskan oleh kabinet,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Jelas Dr Mahathir kerajaan juga perlu memikirkan faktor kos pengambilalihan empat tol lebuh raya yang melibatkan kos RM6.2 bilion.
“Menteri Kewangan Lim Guan Eng yakinkan kita boleh lakukan. Masalah kita, tidak ada duit, tapi beliau kata ia boleh dilakukan jika kita hanya caj ketika waktu puncak maka kita ada kewangan yang cukup.
“Jadi kita perlu lihat sama ada kewangan kita mencukupi atau tidak,” katanya.

Dr Mahathir mengulas laporan The Straits Times di Singapura semalam kononnya cadangan pengambilalihan empat lebuh raya milik Gamuda itu ditangguhkan sementara menunggu semakan semula.
Laporan itu memetik sumber seorang menteri kabinet yang tidak dinamakan.
Cadangan mengambil alih empat lebuh raya itu pertama kali diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 23 Februari lalu.
Empat lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), dan Terowong SMART.
Pada 21 Jun, Gamuda dan Lingkaran Trans Kota Holdings (Litrak) memaklumkan Bursa Malaysia bahawa Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MoF Inc sudah membuat tawaran mengambil alih empat konsesi lebuh raya milik mereka.
Tawaran itu juga jelas menyebut ia tertakluk pada persetujuan Jemaah Menteri.
Tawaran tersebut dibuat ketika kabinet menunggu laporan penuh mengenai masa depan dan hala tuju lebuh raya bertol di Malaysia yang dimandatkan kajiannya pada Kementerian Kerja Raya.
Jemaah Menteri pada Disember lepas memberi mandat kepada Kementerian Kerja Raya untuk mencadangkan pilihan yang munasabah kepada semua pihak berkepentingan iaitu kerajaan, syarikat konsesi dan pengguna, sebagai penyelesaian muktamad atas isu tol yang membebankan rakyat.
Sumber sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight, laporan Kementerian Kerja Raya itu tidak mencadangkan supaya kerajaan mengambil alih mana-mana konsesi lebuh raya tol. – 1 Ogos, 2019.
Komen