Afrika Selatan catat rekod pengangguran tertinggi


Afrika Selatan mengalami tahap pengangguran tertinggi dengan sejumlah 6.7 juta orang tidak bekerja. – Gambar fail EPA, 1 Ogos, 2019.

AFRIKA Selatan menyaksikan tahap pengangguran tertinggi dengan sejumlah 6.7 juta orang tidak bekerja, yang terburuk di negara itu sejak krisis kewangan global lebih sedekad lalu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu laporan kerajaan.

Menurut laporan yang disiarkan Jabatan Perangkaan Afrika Selatan, kadar pengangguran meningkat sebanyak 1.4% berbanding 27.6% pada suku pertama 2019 kepada 29% pada suku kedua 2019.

Dapatan itu mendedahkan bahawa tahap pengangguran adalah tinggi di Afrika Selatan dan hanya terdapat beberapa pekerjaan yang terbuka untuk persaingan.

“Kira-kira 71.5% daripada mereka yang menganggur mencari kerja untuk tempoh setahun atau lebih,” menurut kaji selidik buruh.

Laporan itu dikeluarkan semasa negara tersebut berdepan pertumbuhan ekonomi yang lembap dan kebimbangan pemberhentian pekerja di beberapa syarikat, sekali gus meningkatkan tekanan kepada pentadbiran baharu Presiden Cyril Ramaphosa semasa ia bertungkus-lumus mewujudkan peluang pekerjaan.

Kaji selidik itu mendapati daripada sejumlah 6.7 juta penganggur, 57% belajar namun tidak menamatkan sekolah menengah manakala hanya 2.2% adalah graduan dengan kelayakan universiti dan 6.9% memiliki kelayakan pengajian tinggi lain.

Kali terakhir Afrika Selatan berdepan kadar pengangguran terburuk pada 2003, yang melebihi 28%. – Bernama, 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen