Bintang YouTube Grant Thompson maut kemalangan luncur udara


Bintang YouTube Grant Thompson meninggal dunia dalam satu kemalangan luncur udara, kata keluarganya dan mayatnya ditemui pada Selasa. – Gambar Facebook, 1 Ogos, 2019.

BINTANG YouTube Grant Thompson, yang mencipta populariti sebagai pengacara saluran popular “The King of Random”, meninggal dunia dalam satu kemalangan luncur udara, kata keluarganya.

Pihak berkuasa berkata Thompson, 38, yang mempunyai 11 juta pengikut di salurannya dan berbilion tontonan, dilaporkan hilang selepas tidak pulang pada Isnin daripada trip luncur udara di Utah.

Satu alat GPS yang dipakainya digunakan untuk mengesan mayatnya pada Selasa.

Pejabat Serif Daerah Washington menerusi Facebook berkata anggota penyelamat menemui peralatan luncur udara dan peralatan merakam video yang mungkin dapat membantu mendapatkan maklumat tentang kemalangan itu.

Keluarga Thompson memaklumkan peminat mengenai kematian itu menerusi laman medianya.

“Dengan rasa penuh dukacita, kami memaklumkan bahawa Grant Thompson meninggal dunia malam tadi,” kata keluarga itu di Instagram.

“Legasi Grant akan terus hidup di salurannya dan dalam masyarakat global yang diciptanya.”

Saluran Thompson meneroka bagaimana sesuatu benda itu berfungsi.

Salah satu video popularnya – “Bagaimana hendak buat gula-gula Lego” – menjelaskan bagaimana hendak buat gula-gula di rumah, dan satu lagi bertajuk “Apa cecair nitrogen boleh lakukan pada wajah anda?”

Video terakhirnya, “Kek beras RAFT! Adakah ia akan terapung?” disiarkan pada Ahad.

Sebelum membina empayar di YouTube, Thompson bekerja sebagai juruterbang selama 11 tahun dan kemudian di bidang hartanah, menurut satu temu bualnya dengan MediaKix pada 2017. – AFP, 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen