AMERIKA Syarikat (AS) semalam mengenakan sekatan terhadap Menteri Luar Iran Mohammed Javad Zarif, mengharamkan pemimpin kanan itu masuk ke negara berkenaan.
Sekatan itu turut membekukan semua aset Zarif di AS atau dikawal oleh entiti AS, kata kerajaan, menambah ia akan mengehadkan perjalanan antarabangsanya.
“Zaril melaksanakan agenda pemimpin agung Iran dengan cuai, dan jurucakap rejim itu untuk seluruh dunia. AS menghantar mesej jelas kepada rejim Iran yang tindakan mereka sejak akhir-akhir ini sangat tidak boleh diterima,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin dalam satu kenyataan.
Sekatan sama turut dikenakan sebelum ini terhadap pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, antara tindakan dikenakan Presiden Donald Trump terhadap cubaan pentadbiran Obama untuk mengakhiri ketegangan nuklear menerusi rundingan.
Zarif menjadi individu penting dalam rundingan dengan ibu kota negara luar berhubung industri kuasa nuklear Iran, di mana Tehran berkata ia damai, tetapi Washington dan sekutu serantau termasuk Israel bertegas mengatakan ia hanya untuk menyembunyikan program senjata rahsia.
Tetapi pegawai pentadbiran Trump berkata imej diplomatik Zarif – lengkap dengan fasih berbahasa Inggeris, pandai berlawak dan mempunyai latar belakang pendidikan AS – hanya palsu.
“Hari ini Presiden Trump memutuskan sudah cukup-cukuplah,” kata pegawai itu, menuduh Zarif berfungsi sebagai “menteri propaganda, bukan menteri luar”.
Zarif menjawab semula, menerusi Twitter berkata Washington cuba mendiamkan Iran di persada antarabangsa. – AFP, 1 Ogos, 2019.
Komen