TIGA lelaki termasuk dua yang sedang menjalani hukuman penjara, didakwa atas tuduhan terbabit dalam konspirasi jenayah pengganas berhubung satu rancangan yang gagal untuk membunuh seseorang, kata sumber.
Tiga lelaki terbabit – termasuk seorang yang pernah dipenjarakan kerana berada enam bulan di Syria pada 2014 untuk berjuang bersama kumpulan berkaitan dengan al-Qaeda – belum lagi menetapkan sasaran mereka secara khusus.
Tetapi mereka merancang untuk menyerang seorang pengawal penjara, kata sumber, mengesahkan laporan dalam akhbar Le Parisien.
“Ia satu projek, kami bukan dalam risiko berprofil tinggi,” kata Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner.
Ketiga-tiga suspek berusia 27, 31 dan 42 tahun didakwa pada Jumaat dan mereka mengaku tidak bersalah.
Menurut laporan Le Parisien, dalang serangan itu ialah suspek berusia 27 tahun, seorang mualaf dan pernah dipenjarakan kerana “bersimpati dengan pengganas”.
Suspek dipindahkan ke sekurang-kurangnya tiga penjara berbeza dan ketika dipindahkan itu dia bertemu dua lagi suspek, lapor akhbar itu.
Sejak beberapa bulan terakhir, dua pengawal diserang di penjara di barat daya Perancis, satu dilakukan oleh banduan disabitkan bersalah melakukan keganasan dan satu lagi insiden oleh tahanan radikal.
Daripada 71,000 banduan di Perancis, kira-kira 500 masih menunggu perbicaraan atau sudah disabitkan kerana tindakan keganasan.
Seramai 1,100 tahanan undang-undang biasa sedang dipantau kerana radikal, menurut sumber. – AFP, 1 Ogos, 2019.
Komen