2 lelaki, seorang wanita dihukum sebat di khalayak di Aceh


Aceh satu-satunya wilayah di Indonesia yang majoriti populasinya beragama Islam, mengguna pakai undang-undang syariah. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2019.

TIGA individu disebat 100 kali setiap seorang secara terbuka di Aceh, semalam, dengan seorang tertuduh wanita merayu pegawai syariah berhenti menyebatnya kerana tidak dapat lagi menanggung sakit.

Berpuluh-puluh orang awam menyaksikan hukuman dilaksanakan terhadap dua lelaki dan seorang wanita di stadium di Lhokseumawe, 274km dari ibu kota Banda Aceh.

Sebatan digunakan sebagai hukuman bagi pelbagai kesalahan di wilayah itu, termasuk berjudi, minum arak dan melakukan hubungan seks luar tabii dan zina.

Semalam, tertuduh wanita berusia 22 tahun dan teman lelakinya, juga 22, disebat 100 kali setiap seorang selepas didapati berzina.

Wanita itu menangis beberapa kali ketika hukuman dijalankan menyebabkan pegawai syariah terpaksa berhenti menyebat sehingga doktor mengesahkan tertuduh dalam keadaan baik untuk meneruskan hukuman.

Seorang remaja lelaki 19 tahun disebat dengan rotan kerana melakukan hubungan seks dengan pasangannya yang di bawah umur.

Remaja terbabit akan menjalani hukuman penjara lima tahun, sementara pasangan 22 tahun berkenaan tidak dipenjarakan.

Fakhrillah, pegawai dari pejabat pendakwa raya berkata sebatan diadakan di dalam stadium bagi mengelak ia ditonton oleh kanak-kanak.

Aceh satu-satunya wilayah di Indonesia yang majoriti populasinya beragama Islam, mengguna pakai undang-undang syariah.

Kumpulan hak asasi manusia mengecam tindakan rotan dan sebat di khalayak sebagai kejam, dan Presiden Indonesia Joko Widodo turut mendesak ia dihentikan, tetapi amalan itu diterima baik kebanyakan penduduk Aceh. – AFP, 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen