NELAYAN yang membantah Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) tidak akan berhenti sehingga suara mereka didengari kerajaan negeri.
Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad berkata, sudah lebih tiga tahun mereka mengadakan bantahan berhubung isu berkenaan.
“Kita bukan berjuang untuk nelayan dan masyarakat Melayu, tetapi untuk semua rakyat Malaysia dan generasi kita akan datang.
“Kita tidak menolak pembangunan tetapi mahu menghalangnya daripada membawa kemusnahan.
“Ini kerana projek ini akan menjejaskan sumber pencarian kami dalam jangka masa panjang,” katanya pada forum projek PSR di di Kelab Bangsar Utama malam ini.
Nazri berkata, apa yang nelayan mahukan adalah pembaharuan yang akan membantu mereka untuk terus menyara kehidupan.
“Sekiranya semua bantahan kami gagal dan mereka teruskan projek, kami tidak mahu pampasan, tetapi kami mahu bot berenjin, dengan sistem navigasi dan kotak ais.
“Kami mahu kerajaan negeri sediakannya kepada 400 nelayan ini. Jadi, kelangsungan industri dapat diteruskan.”
Bulan lalu, kira-kira 200 nelayan dari Perak dan Pulau Pinang bersama aktivis alam sekitar, berhimpun di perkarangan Parlimen bagi membantah projek PSR.

Nazri berkata pembinaan tiga pulau buatan di bawah projek PSR akan memberikan impak negatif terhadap sumber mata pencarian mereka dan tidak memberi faedah kepada nelayan.
“Laut di kawasan kami sebelum ini kaya dengan ikan, ketam dan udang. Tetapi sekarang ini susah untuk menangkapnya di kawasan dekat pulau.
“Sebelum ini kami tidak perlu keluar jauh, tetapi sekarang terpaksa, kerana projek ini.”
Katanya, mereka juga mahu tahu bagaimana pemaju akan memulihara kawasan berkenaan sebaik saja penambakan itu selesai.
“Dalam projek mega seperti ini, perunding mereka perlu bersedia dengan apa yang mereka akan lakukan untuk memulihkan kawasan ini. Tetapi, dalam isu PSR ini tidak ada apa-apa.
“Jika pokok ditebang untuk pembalakan, ia boleh ditanam semula. Tetapi bagaimana dengan ikan? Bagaimana kami nak sara hidup?”
Nazri turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak mengambil berat tentang permasalahan mereka.
“Kami tidak percaya projek ini akan memberi faedah kepada nelayan atau penduduk di Pulau Pinang.
“Jika kita lihat pada projek kondominium di Tanjung Tokong ia bukan untuk rakyat Malaysia, tetapi untuk warga Singapura, Hong Kong dan China.”
Nazri berkata, apa yang nelayan mahu tahu adalah sama ada kebajikan mereka diambil tahu.
“Kami mahu tahu apa yang kerajaan negeri akan lakukan untuk selamatkan industri mereka dan membantu nelayan.” – 31 Julai, 2019.
Komen