KIRA-kira 200 aktivis berarak ke Mondoringin di Papar hari ini, yang merupakan kawasan dikenal pasti sebagai tapak terakhir empangan hidroelektrik Papar, bagi menggesa kerajaan negeri Sabah menghentikan projek bernilai RM3 bilion itu.
Mereka terdiri daripada penduduk kampung dari Penampang dan Papar, serta kumpulan aktivis Pasukan Petugas Menentang Empangan Kaiduan (Takad), Selamatkan Sungai Papar, Empangan Babagon, Pacos Trust dan Bersih 2.0 Sabah serta organisasi bukan kerajaan lain.
Mereka berhimpun sebagai solidariti di wilayah Ulu Papar bagi mengingatkan pihak berkuasa kemusnahan yang dibawa empangan berkenaan terhadap alam sekitar serta kehilangan tanah nenek moyang mereka sekiranya projek berkenaan diteruskan.
Wilayah Ulu Papar terdiri daripada kawasan Papar dan Penampang, menghubungkan Banjaran Crocker, yang juga sempadan Tambunan.
Pembinaan Empangan Papar dijangka bermula tahun depan selepas mendaat kelulusan kabinet mengenai reka bentuk terakhir pelan empangan berkenaan, dan selepas mendapat dana yang diperlukan.

Pemimpin Takad, Diana Sipail mengulangi kenyataan bahawa projek empangan, yang diperkenalkan pada era pentadbiran Barisan Nasional, hanya ditukarkan nama di bawah kerajaan negeri yang diterajui Warisan.
Katanya, nama Kaiduan hanya ditukarkan kepada Papar, namun tapak empangan berkenaan masih sama di Papar.
Sebelum ini, penduduk Penampamg membantah pembinaan Empangan Kaiduan kerana khuatir banjir di Ulu Papar akan sampai ke daerah itu menyebabkan kehilangan tanah, mata pencarian dan kediaman kepada kira-kira 3,000 penduduk kampung di kawasan itu.
Sipail turut meluahkan bahawa NGO merasakan dikhianati oleh beberapa ahli politik daripada parti pemerintah kini yang menggunakan kontroversi empangan itu untuk mendapat kepentingan politik terhadap lawan mereka pada pilihan raya umum lalu.
“Penduduk Ulu Papar berkempen bersama-sama mereka untuk mengubah kerajaan lama dengan harapan mereka akan tamatkan projek empangan.

“Kami akan terus memberi tekanan kepada ahli politik untuk tunaikan janji mereka kerana mereka kini sudah berjawatan tinggi dalam kerajaan selepas menang pada pilihan raya umum tahun lalu,” katanya.
Katanya, pengumuman Mondoringin sebagai tapak empangan berkenaan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony amat mengejutkan mereka.
Tambahnya, ia merupakan pelanggaran hak asasi manusia di bawah deklarasi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal, sekiranya projek berkenaan diteruskan.
Kempen solidariti kumpulan berkenaan bagi membantah projek itu diadakan di satu kawasan terpencil, berhampiran ladang kelapa sawit.
Peter Anthony sebelum ini menegaskan hanya empangan itu sahaja jawapan kepada masalah kekurangan bekalan air di kawasan Pantai Barat selepas mempertimbangkan pelbagai alternatif lain.
Terdapat gesaan kepada kerajaan negeri untuk membaiki kebocoran paip Jabatan Bekalan Air di daerah berkenaan bagi mengurangkan air tidak berhasil negeri, yang kini sekitar 51.9%. – 31 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen