Penjawat awam berpendapatan sederhana di Sabah bergelut untuk miliki rumah


Jason Santos

Penduduk Bukit Kopungit sudah terbiasa tinggal di rumah kayu dan zink yang dibina sendiri, walaupun sedar risiko hakisan tanah di lereng bukit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 1 Ogos, 2019.

BUKIT Kopungit terletak kira-kira 4km di luar Kota Kinabalu, adalah kisah mengenai harga rumah yang jauh daripada jangkauan sehingga keluarga berpendapatan sederhana memilih untuk terus tinggal di rumah kayu tua berbumbungkan zink.

Kira-kira 1,000 isi rumah tinggal di bukit ini yang terletak di daerah Kapayan dan kebanyakannya adalah penjawat awam yang tidak mampu membeli rumah baru di bandar, kata seorang penduduk Joel Halim, 52, yang merupakan pembantu perubatan di Hospital Queen Elizabeth.

Beliau berkata mula tinggal di Bukit Kopungit pada 1990-an selepas kuarters yang didiami dirobohkan untuk membina jalan pintas Penampang.

Kuarters baharu pula terlalu jauh dari hospital yang memaksa beliau dan penjawat awam berpangkat rendah lain memutuskan untuk menetap di bukit itu.

Joel tinggal bersama isterinya, juga seorang penjawat awam dan enam anak di rumah kayu satu tingkat di kaki bukit. Anak sulungnya yang berumur 21 tahun hanya belajar sehingga Tingkatan 5, bekerja di sebuah kafe di bandar.

Pendapatan Joel dicampur isteri dan anaknya, hanya dalam lingkungan RM5,000 sebulan.

Bagaimanapun, masih tiada bank memberinya pinjaman perumahan untuk rumah murah berharga antara RM250,000 hingga RM300,000 di Kota Kinabalu.

Kata Joel, sebahagian besar perbelanjaan bulanan diperuntukkan untuk keperluan anak-anak kerana lima daripada mereka masih sekolah.

Pendapatan isi rumah di Sabah tidak seiring dengan harga rumah, yang menyaksikan harga purata rumah adalah 11 kali lebih tinggi daripada pendapatan tahunan median keluarga sebanyak RM34,320, menurut data 2014.

“Saya sudah putus asa untuk mendapatkan pinjaman. Saya tidak sabar untuk bersara di kampung halaman saya di Bongawan Papar dan mengerjakan tanah keluara,” kata Joel.

Keluarga besar

Kumpulan awal mereka yang berpindah ke Bukit Kopungit adalah kira-kira 30 keluarga, kini sudah bertambah menjadi lebih 1,000 orang, kata ketua kampung Kampung Kopungit.

Beliau hanya mahu dikenali sebagai Mike kerana bimbang ia akan menjejaskan elaun yang diterimanya daripada pihak berkuasa.

Mike berkata kebanyakan penduduk berketurunan etnik Dusun dan beberapa orang Melayu Brunei yang bekerja sebagai penjawat awam, terutama di hospital berdekatan.

“Kebanyakan mereka adalah penjawat awam berpangkat rendah yang ke bandar dari daerah luar bandar seperti Beaufort, Tambunan dan Membakut yang akhirnya mengambil keputusan menetap berhampiran bandar,” katanya.

Kira-kira 1,000 isi rumah tinggal di Bukit Kopungit yang terletak di daerah Kapayan dan kebanyakannya adalah penjawat awam yang tidak mampu membeli rumah baru di bandar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 1 Ogos, 2019.

Mike berkata walaupun mereka mempunyai pendapatan mencukupi untuk dianggap sebagai isi rumah berpendapatan sederhana, mereka memilih untuk tinggal di kampung itu kerana kos yang tinggi bagi memiliki rumah yang bersesuaian.

“Tidak mudah untuk mendapatkan rumah hampir dengan bandar. Malah rumah sejauh Tuaran, kira-kira 40 kilometer dari sini, berharga lebih RM200,000,” katanya.

Sekalipun pendapatan gabungan isi rumah mampu untuk memiliki rumah yang berpatutan, rumah bandar biasanya terlalu kecil untuk mereka yang mempunyai keluarga besar, situasi biasa bagi kebanyakan keluarga Bukit Kopungit, kata Mike.

“Rata-rata saiz pangsapuri di bandar adalah antara 650 kaki persegi dan 850 kaki persegi, dengan dua atau tiga bilik. Tidak cukup untuk keluarga saya,” kata Mike yang mempunyai lapan anak.

Walaupun empat anaknya sudah bekerja tetapi dengan tinggal bersama, mereka boleh menjimatkan sewa, tambahnya.

Beliau berkata penduduk Bukit Kopungit juga sudah terbiasa tinggal di rumah kayu dan zink dibina sendiri, walaupun risiko hakisan tanah di lereng bukit.

Pada 2000, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu mewartakan kawasan itu sebagai kampung selepas pembinaan jalan pintas Penampang siap. Ketika itulah kampung mereka mendapat bekalan air dan elektrik.

Kampung ini dibahagikan kepada empat zon, A, B, C dan D. Bagaimanapun, penduduk terus berkembang kerana terdapat penduduk setinggan yang membina rumah sementara di luar sempadan kampung.

Mike berkata beberapa penduduk sudah berpindah dan menyewakan rumah lama mereka kepada penduduk luar lain yang ingin mencari kerja di bandar.

Memandangkan kebanyakan mereka adalah pekerja bawahan seperti tukang cuci atau pengawal keselamatan, sewa di Bukit Kopungit adalah antara RM200 hingga RM400 sebulan.

Alexander Namsi, 45, dari Tenom, adalah seorang daripadanya.

Pengawal keselamatan di Kompleks Mahkamah yang baru di Bukit Punai memperoleh pendapat RM1,200 sebulan dan sebahagian besarnya digunakan untuk membayar sewa, elektrik, air, makanan dan keperluan persekolahan tiga anak lelakinya.

“Saya biasanya kerja lebih masa untuk mendapatkan gaji lebih. Tanpa itu, gaji yang diterima jauh lebih rendah. Upah minimum serba sedikit membantu tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung keluarga apabila anda tinggal berhampiran bandar.”

Namsi berasa beliau tiada harapan untuk membeli rumah yang sesuai atau menghantar semua anaknya belajar di kolej.

“Satu-satunya doa saya untuk anak-anak ialah mereka belajar dengan baik di sekolah dan selepas tingkatan lima, mereka akan mencari kerja yang baik untuk menyara keluarga.” – 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen