SATU kertas kerja sedang disediakan berhubung cadangan pengambilalihan empat lebuh raya bertol oleh Putrajaya yang akan dikemukakan kepada Kabinet bagi kelulusan akhir, kata satu sumber kerajaan.
Sumber itu memberitahu The Malaysian Insight, persetujuan perlu diberikan oleh Kabinet untuk memuktamadkan perjanjian itu.
“Perjanjian pengambilalihan itu tertakluk kepada kelulusan akhir Kabinet, seperti yang disebutkan dalam tawaran kepada pemegang konsesi lebuh raya, kenyataan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan jawapan di Parlimen.”
The Malaysian Insight difahamkan Kementerian Kewangan tidak mengetahui mengenai dakwaan penangguhan perjanjian itu, seperti yang dilaporkan oleh The Straits Times Singapura hari ini.
The Straits Times dalam laporannya yang memetik seorang menteri tidak dinamakan berkata pengambilalihan empat syarikat konsesi lebuh raya daripada Gamuda Bhd ditangguhkan kerana tiada persetujuan terhadap cadangan yang diketuai oleh Kementerian Kewangan.
Menteri dilaporkan memberitahu akhbar Singapura yang “keseluruhan perkara itu ditangguhkan sementara menunggu semakan penuh”.
Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menawarkan untuk membeli 70% pegangan Gamuda dalam anak syarikatnya Kesas Holdings Bhd, 52% pegangan Gamuda dalam syarikat bersekutunya, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (Sprint) dan 50% kepentingan Gamuda dalam usaha sama Project Smart Holdings Sdn Bhd (SMART).
Ia juga menawarkan untuk memperoleh Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) yang kepentingannya dipegang oleh Gamuda sebanyak 44%.
Pembelian itu akan melibatkan kos kerajaan sebanyak RM6.2 bilion.
Walaupun cadangan itu diterima oleh syarikat konsesi lebuh raya, ia masih tertakluk kepada kelulusan Kabinet.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini mengatakan Kabinet secara dasarnya sudah memberikan kelulusan pada 27 Februari, manakala Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meluluskan tawaran bersyarat pada 20 Jun.
Bagaimanapun, perjanjian itu masih tertakluk kepada kelulusan muktamad oleh Kabinet. – 31 Julai, 2019.
Komen