KOMANDER kapal tentera laut Britain, yang mengiringi kapal UK melalui Selat Hormuz berkata, Tehran dilihat cuba menguji tentera laut negara itu berikutan ketegangan dengan Iran yang semakin memuncak.
Komander kapal HMS Montrose, William King berkata, sepanjang 27 hari membuat rondaan di pintu masuk perairan Teluk itu, beliau “berinteraksi dengan pasukan keselamatan Iran” sebanyak 85 kali yang kebanyakannya memberi amaran melalui radio.
“Ini hanya meningkatkan ketegangan..malah lebih daripada apa yang kita dapat saksikan sebelum ini,” katanya dalam satu wawancara menerusi telefon bersama BBC Radio.
“Pihak Iran dilihat cuba menguji kesabaran kita, dan pada kebanyakan masa menguji reaksi kita,” tambahnya.
“Mereka mendakwa kehadiran kita salah di sisi undang-undang, walaupun kami berada di perairan antarabangsa.
“Mereka turut melancarkan bot laju ke arah kami, untuk menguji tahap amaran.”
Kapal Montrose ditugaskan selama tiga tahun di wilayah itu sejak April lalu dan berpangkalan di Bahrain, mula mengiringi kapal melalui laluan kapal minyak paling sibuk di dunia itu pada awal bulan ini.
Ia susulan daripada ancaman daripada Iran untuk merampas salah satu daripada kapal tangki milik UK pada 4 Julai lalu kerana mendakwa ia membawa bekalan minyak ke Syria yang merupakan pelanggaran sekatan Kesatuan Eropah.
Walaupun dengan kehadiran kapal Montrose di perairan Teluk, Iran bertindak memintas kapal tangki UK “Stena Impero” pada 19 Julai lalu yang sedang belayar melalui selat berkenaan dan ditahan di pelabuhan Iran.
Britain kemudiannya memutuskan untuk menukar kapal tangki dan mencadangkan satu penubuhan misi pengiring tentera laut Eropah untuk kapal yang melalui Selat Hormuz.
Ia susulan daripada tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengenakan sekatan ekonomi serta meningkatkan kehadiran tentera bagi memaksa Iran membuat rundingan semula pakatan nuklear. – AFP, 31 Julai, 2019.
Komen