Madius pertahan dakwaan 'pengislaman secara paksa' di Facebook


Jason Santos

Timbalan Ketua Menteri Sabah Wilfred Madius Tangau (kiri) berkata semua maklumat mengenai pengislaman beramai-ramai 38 tahun lalu berdasarkan memorandum yang diterima pada 1982 dan yakin pihak polis akan menyiasat perkara itu dengan adil serta profesional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2019.

TIADA niat bersikap tidak hormat kepada agama lain agama berhubung status di Facebook baru-baru ini yang mendakwa berlakunya “pengislaman secara paksaan” di Sabah, kata Wilfred Madius Tangau.

Timbalan ketua menteri Sabah memberitahu perkara ini kepada media selepas empat jam memberi kenyataan kepada polis berhubung statusnya itu.

Beliau juga tidak memberi sebarang komen mengenai gesaan memohon maaf dengan berkata mempunyai memorandum mengenai kejadian didakwa berlaku 38 tahun lalu.

“Saya yakin polis akan menyiasat perkara ini secara adil dan profesional.

“Saya sudah memberikan kerjasama penuh dan menghantar dokumen berkaitan yang menyokong dan menjelaskan posting saya.

“Dokumen yang saya rujuk adalah memorandum yang diberikan kepada saya bertahun lalu ketika menjadi pemimpin pelajar pada 1982,” katanya.

Tangau, yang juga menteri pembangunan infrastruktur Sabah, berkata lebih 2,000 tandatangan, bersama tandatangan pemimpin KadazanDusun yang dihormati, dikumpulkan dalam memorandum itu.

Memorandum berkenaan untuk perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dan diserahkan kepada menteri pendidikan persekutuan Anwar Ibrahim.

The Malaysian Insight difahamkan tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan pada masa itu.

Memorandum tersebut, antara lain, mahu memaksa kerajaan persekutuan campur tangan berhubung pengislaman dalam era itu.

Menurut ahli Parlimen Tuaran, polis memaklumkan kepadanya mereka menerima 33 laporan terhadap kenyataan kontroversi beliau pada 21 Julai.

Dalam posting itu, Tangau menyebut mengenai pemimpin Sabah dahulu yang menganjurkan pengislaman beramai-ramai di Tambunan 38 tahun lalu.

Beliau tidak menamakan pemimpin Sabah itu, tetapi pada masa itu Sabah berada di bawah pemerintahan kerajaan negeri Berjaya dengan Harris Salleh sebagai ketua menteri.

“Saya tidak akan berkongsi kandungan memorandum tetapi cukup untuk mengatakan ia berfungsi sebagai peringatan mengenai tindakan pemimpin yang dikesalkan.

“Kenyataan yang saya tulis bukan mengenai agama kerana ia menyatakan penghargaan terhadap Ketua Menteri Shafie Apdal yang menunjukkan perhatian dan ambil berat mengenai kebajikan  gereja Sabah,” katanya. – 31 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen