MAYAT jutawan kopi India V.G. Siddhartha yang dilaporkan hilang ditemui di sebuah sungai di selatan India hari ini, kata polis.
Pengasas rangkaian Cafe Coffee Day itu kali terakhir dilihat pada Isnin lalu di tepi sungai Nethravathi dekat Mangaluru. Kehilangannya dilaporkan oleh pemandunya.
Pihak berkuasa kemudian melancarkan operasi mencari besar-besaran. Mayatnya ditemui di tebing sungai oleh seorang nelayan.
“Mayat Siddhartha ditemui awal pagi tadi,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Karnataka Selatan, Sasikanth Senthil.
“Mayatnya dihantar ke hospital untuk dibedah siasat, kami sedang menunggu keputusan.”
Mayat jutawan itu akan diserah kepada keluarganya selepas segala prosedur selesai, kata Pesuruhjaya Polis Mangaluru, Sandeep Patil.
Menurutnya lagi, siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama Siddhartha membunuh diri.
Keluarga Siddhartha menjalankan perniagaan kopi selama 130 tahun. Beliau membuka cawangan pertama Cafe Coffee Day pada 1996 dan sejak itu muncul sebagai antara peniaga kopi terbesar di dunia.
Cafe Coffee Day mempunyai lebih 1,700 cawangan sebahagian besarnya di India. Cawangan lain termasuk di Malaysia, Mesir, Republik Czech dan Austria.
Polis berkata Siddhartha ke Bangalore petang Isnin lalu dan memberitahu keluarganya mahu ke sebuah resort. Sebaliknya beliau meminta pemandu membawanya ke Mangaluru.
Siddhartha meminta pemandunya menghentikan kereta dan kemudian berjalan di sebuah jambatan sebelum menghilangkan diri. Pemandunya berkata majikannya itu seperti sedang bercakap dengan seserang di telefon.
Jutawan itu berkahwin dengan anak bekas menteri luar S.M. Krishna. – AFP, 31 Julai, 2019.
Komen