TIADA unsur jenayah dalam kes kematian Gopal Krisnan Rajalingam yang meninggal dunia semasa dalam tahanan pihak penjara semalam, kata polis.
Gopal, 21, ditahan di penjara sejak 12 Mei lalu sementara menunggu kes bersabit tuduhan memiliki dadah disebut di mahkamah, kata laporan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzly Abu Shah berkata bedah siasat menunjukkan Gopal meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada injap jantung.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan luaran dan unsur jenayah ke atas si mati. Punca kematian adalah disebabkan jangkitan kuman pada injap jantung si mati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bedah siasat berkenaan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar oleh pakar forensik, Dr Mohd Suhaini Mohd Noor bermula 9.30 pagi tadi berakhir 1.30 petang.
Presiden Persatuan Tamilar Kural Malaysia, David Marshel berkata Gopal meninggal dunia di Hospital Sungai Petani jam 2.30 petang semalam selepas menerima rawatan untuk penyakit yang tidak diketahui sejak minggu lepas.
The Malaysian Insight difahamkan Gopal dimasukkan untuk rawatan sejak 24 Julai lalu.
Ibunya Sakhti Ramakrisnan berkata semasa beliau melawat anaknya di hospital, anaknya itu tidak sedarkan diri.
Sakhti mendakwa anaknya cedera akibat dipukul berulang kali oleh warden penjara, seperti yang pernah diadukan kepadanya oleh anaknya sendiri.
Teman wanita Gopal, Navamallika Tan Sze Lin yang membuat laporan polis berhubung kematian itu semalam enggan memberi sebarang komen ketika dihubungi The Malaysian Insight.
“Saya akan hubungi anda semula, harap beri masa kepada saya dahulu,” katanya ringkas.
Sementara itu, Marshel memberitahu, keluarga mangsa masih sangsi dengan kematian Gopal kerana setakat ini masih belum ada penjelasan mengenai kesan luka dan bengkak pada badannya.
“Kami Pertubuhan Tamilar Kural Malaysia dan keluarga masih sangsi terhadap laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh pihak hospital. Tiada penjelasan terperinci terhadap luka pada badan dan bengkak pada tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Marshel juga mendakwa pihak penjara di Sungai Petani cuai apabila lambat menghantar mangsa ke hospital.
“Pihak hospital juga tegur pihak penjara bahawa nyawanya boleh diselamatkan jika bawa mangsa lebih awal ke hospital.
“Ini mengambarkan memang kecuaian dilakukan oleh pihak penjara,” katanya.
Marshel menambah, pihaknya akan berbincang dengan pihak keluarga mangsa untuk membawa kes ini mengikut lunas undang-undang, selepas urusan pengebumian selesai. – 31 Julai, 2019.
Komen