ISTERI pemerintah Dubai telah memohon perintah pelindungan perkahwinannya di United Kingdom selepas dilaporkan meninggalkan suaminya dan melarikan diri dari Dubai, mahkamah mendengar hari ini.
Puteri Haya, 45, isteri Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, 70, memohon perintah perlindungan dari perkahwinannya, perintah larangan mengganggu dan hak ke atas anak-anaknya.
Pada pendengaran awal, hakim Andrew McFarlane membenarkan media melaporkan Puteri Haya yang juga anak perempuan kepada Raja Hussein dari Jordan telah membuat permohonan perintah perlindungan.
Mahkamah juga menerima permohonan Sheikh Mohammed di mahkamah tinggi untuk mendapatkan kembali anak-anaknya untuk pulang ke Dubai.
McFarlane yang mengetuai bahagian keluarga di Mahkamah Tinggi England dan Wales memutuskan hanya wartawan bertauliah dengan media yang berpusat dalam bidang kuasa England dan Wales dibenarkan masuk mendengar prosiding itu.
Wartawan dari organisasi media yang tidak berpusat di UK telah hadir tetapi diberitahu mereka tidak dapat mendengar prosiding itu.
Pasangan itu berkahwin pada 2004 dan Puteri Haya menjadi isteri keenam serta isteri termuda kepada Sheikh Mohammed.
Puteri Haya merupakan anak perempuan Raja Hussein Jordan dan adik perempuan kepada Raja Abdullah II dari Jordan.
Puteri itu berada di mahkamah untuk prosiding sementara Sheikh Mohammed tidak hadir.
Beliau meninggalkan mahkamah diiringi peguamnya Fiona Shackleton yang mewakili Putera Charles, pewaris takhta British dalam kes penceraiannya dengan Puteri Diana.
Sheikh Mohammed diwakili Helen Ward yang bertindak mewakili Guy Ritchie dalam kes penceraiannya dengan bintang pop Madonna.
Demonstrasi anti Sheikh Mohammed juga berlaku di luar kompleks mahkamah.
Pendengaran awal selama dua hari ini diteruskan hari ini. – AFP, 31 Julai, 2019.
Komen