2 anggota tentera Singapura didakwa atas kematian pelakon


DUA anggota tentera Singapura hari ini didakwa di mahkamah tentera atas kematian seorang pelakon popular ketika menjalani latihan khidmat negara.

Aloysius Pang, pelakon drama dan filem bahasa Cina di Singapura yang sedang menjalani latihan khidmat negara Angkatan Tentera Singapura (SAF) di New Zealand, cedera ketika membaiki meriam. 

Pang, 28, meninggal dunia di hospital.

Kematiannya dan tiga lagi anggota SAF sepanjang 17 bulan mencetus kritikan orang ramai yang mahukan perubahan dalam sistem latihan khidmat negara itu.

Setiap lelaki Singapura berumur 18 tahun diwajibkan menjalani latihan khidmat SAF selama dua tahun dan dipanggil untuk menjalani latihan lanjutan yang ada ketikanya dijalankan di luar negara.

Dua anggota tentera, Ivan Teo, 35, dan Hubert Wah, 31, didakwa di mahkamah tentera, menurut Kementerian Pertahanan Singapura.

Teo didakwa dengan tiga pertuduhan termasuk ingkar dan menyebabkan kematian akibat cuai yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Wah pula didakwa melakukan perbuatan cuai atau gopoh sehingga mengakibatkan kematian yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Februari menegaskan bahawa SAF adalah tunggak angkatan tenteranya.

Beliau mengucapkan takziah atas kematian empat anggota sepanjang 17 bulan dan berkata tentera dan kementeriannya akan memastikan tahap keselamatan ditingkatkan. – AFP, 31 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen