Akibat sahabat, kisah bekas tahanan POTA


Zainal Rashid Ahmad

PADA 1979, dia pelajar darjah enam yang paling ceria dalam kelas. Selalu tersengih ketika bermain dalam hutan getah di Batu 13, Jalan Changloon, Kubang Pasu, Kedah.

Namun, 40 tahun kemudian – semuanya berubah. Anak kelahiran Pekan Jitra ini, kini bekas tahanan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

Nazri ditahan pada 3 September, 2015. Sangat dramatik kerana ia berlaku selepas 24 jam POTA dikuatkuasakan. Dia dituduh bersubahat menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia di Turki yang terbabit dengan Daesh.

Nazri, ketika ditahan berusia 48 tahun. Dia tidak berminat dengan ideologi keganasan tetapi kesilapan utama ialah bersimpati dengan rakan baiknya.

Perasaan persahabatan itu “memakan diri” kerana kenalannya ialah rakyat Malaysia yang menyertai pejuang Daesh di Syria.

Tanpa menyedari komunikasi Facebook dipantau pihak berkuasa, Nazri berbalas pesanan langsung. Rakannya yang menyelinap dari Syria ke Turki, merayu diberikan sedikit wang untuk kos perubatan.

“Dia rayu bantuan. Katanya, untuk merawat rakannya orang Malaysia yang kehilangan kaki terkena bom di Syria. Kesilapan saya ialah memasukkan sejumlah wang. Sebaik saja POTA dikuatkuasakan, saya ditangkap,” katanya dalam pertemuan di restoran sekitar Sungai Besi.

Setelah dua bulan ditahan untuk siasatan polis dan tujuh bulan bersambung tahanan reman di Penjara Sungai Buluh, tuduhan jenayah digugurkan. Namun, Nazri ditahan semula di bawah POTA selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam, Johor.

Selepas dibebaskan pada 8 Disember tahun lalu, dia kehilangan banyak perkara. Kehidupan, kerjaya dan perniagaan yang dibina selama 25 tahun hilang tiba-tiba.

Kini selepas lapan bulan dibebaskan, dia masih gagal mendapat kembali segala yang hilang selama dua tahun sembilan bulan ditahan dan dipenjarakan.

Walaupun kembali ke kehidupan awam, Nazri kehilangan potensi dirinya sebagai pakar teknologi maklumat (IT) dan kontraktor CCTV.

“Saya kehilangan rumah dan semua wang simpanan kerana biaya peguam. Bukan mudah melawan pertuduhan jenayah keganasan sebelum kes digugurkan. POTA hanya dua tahun, berbanding pertuduhan asal dengan hukuman penjara maksimum 30 tahun,” katanya.

Penjara 30 tahun ini merujuk pada pertuduhan asal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

Akta ini menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). SOSMA diwartakan pada 22 Jun, 2012.

Walaupun caj SOSMA digugurkan, tindakan ditahan POTA sudah cukup memusnahkan kehidupan Nazri. Baginya, sukar untuk membina kembali kehidupan sekarang.

“Semuanya sangat perit,” katanya.

Kami bertemu sebagai bekas teman sekolah rendah. Dalam pertemuan yang turut disertai dua lagi rakan sepermainan waktu kecil. Antara kami, Nazri paling terkenal sebagai pelajar pintar dan ceria ketika di sekolah rendah.

“Dulu sebagai kontraktor CCTV, saya boleh dapat kontrak antara RM200,000 hingga RM400,000 setahun. Lebih 15 tahun dalam bidang IT, perniagaan berjalan dengan baik,” katanya.

Kami mendengar kisah ini dengan penuh kejutan. Seingat kami pada 40 tahun lalu, Nazri pelajar pintar dan tidak mungkin terbabit dalam apa juga bentuk keganasan.

“Hati-hati berkawan terutama membantu orang. Pastikan nasib saya tidak berulang pada orang lain,” katanya.

POTA muncul pada kemuncak keganasan teroris

POTA digubal sebagai undang-undang khas mencegah dan membanteras aktiviti keganasan. Akta ini diluluskan pada 7 April, 2015 di Dewan Rakyat.

POTA muncul sebagai satu langkah drastik pencegahan ketika isu penularan terorisme muncul dan memuncak serta mengancam keselamatan negara.

Waktu itu, perkataan Islamic State (IS) atau Negara Khalifah sedang memuncak di Iraq dan Syria. Rangkaian sel pimpinan Abu Bakar Al Baghdadi ini pantas menular dan mendapat sokongan global.

IS aktif di Iraq dan Syria pada 2004. Malah, berjaya membina wilayah Negara Islam Iraq dan Syam.

Pengaruhnya sebagai kebangkitan gerakan Sunni untuk menakluki dunia berjaya mendapat sokongan meluas termasuk di Nusantara.

Penahanan pantas Nazri berkait dengan tindakan mengekang pengaruh IS walaupun kesnya hanya memindahkan wang tunai pada suspek untuk tujuan rawatan perubatan.

Waktu itu, banyak rakyat Malaysia dikenal pasti terbang ke Turki dan menyusup ke Syria untuk menyertai IS. Malah, kempen merekrut pejuang IS dan mendapatkan sokongan dana gesit dilakukan melalui Facebook.

Pada 2014, polis sudah mengesahkan puluhan rakyat Malaysia menyertai IS dan berada di Syria. Malah, ada yang secara terbuka mengisytiharkan diri di media sosial dengan foto-foto propaganda IS dari Syria.

Visual penyembelihan dan pembakaran hidup-hidup musuh dan tawanan perang IS dipapar dan dikongsi dengan meluas. Walaupun mengerikan, IS tetap mendapat sokongan.

Menurut sumber, pejuang IS dari Malaysia antara kunci kekuatan Briged 400, iaitu pasukan khas IS di Syria yang turut disertai rakyat Indonesia, Filipina dan Thailand.

Nazri nampak tenang dan kerap tersenyum sepanjang perbualan. Malah, menerima hakikat – betapa pahitnya hidup ditahan dan dipenjarakan.

Dia juga mengakui realiti, setelah lama dikurung, syarikatnya sudah tidak mampu lagi untuk merebut kembali tender sebagai usahawan IT dan CCTV.

“Dengan sedikit wang yang ada, saya main jual beli mata wang di pasaran kewangan. Pusing modal dan cuba meraih keuntungan. Itu saja yang mampu dilakukan sekarang,” katanya.

Sejak dibebaskan, Nazri turut mengintai peluang menghidupkan kembali syarikatnya. Sekali gus meneruskan kerjaya sebagai kontraktor pembekal kamera CCTV di lebuh raya di seluruh negara.

“Cuma agak sukar kerana tiga tahun ini banyak perubahan teknologi muncul. Ia perlu modal besar untuk kembali bersaing,” katanya menutup cerita. – 31 Julai, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen