PARLIMEN India meluluskan undang-undang terhadap amalan Islam “cerai serta-merta”, menjadikan ia kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara hingga tiga tahun.
Kerajaan Hindu Perdana Menteri Narendra Modi membawa rang undang-undang (RUU) itu walaupun dibantah daripada beberapa parti pembangkang dan RUU itu sebelum ini gagal dalam cubaan dibawa ke dewan.
“Ia amalan yang lapuk dan akhirnya dapat dibuang ke tong sampah sejarah,” kata Modi di Twitter selepas RUU itu akhirnya diluluskan.
“Parlimen memansuhkan talak tiga dan membetulkan sejarah yang bersalah selama ini terhadap wanita Islam. Ini kemenangan untuk keadilan gender dan kesamarataan dalam masyarakat. India gembira hari ini!”
Talak tiga ialah apabila lelaki Islam mengakhiri perkahwinannya dengan hanya berkata “talak” – yang bermaksud “aku ceraikan kau” dalam bahasa Arab – tiga kali berturut-turut.
Mahkamah Agung mengisytiharkan amalan itu tidak mengikut perlembagaan pada 2017 dan memerintahkan kerajaan meluluskan undang-undang itu.
Modi mendapat majoriti di dewan rendah untuk membawa RUU itu pada penggal pertama pentadbirannya tetapi tidak mendapat sokongan mencukupi untuk meluluskannya di dewan tinggi.
Susulan kemenangannya pada pilihan raya Mei lalu, kerajaannya sekali lagi membawa RUU itu walaupun beberapa ahli Parlimen pembangkang membantah tindakan kerajaan menjadikan perceraian satu tindakan kesalahan jenayah.
Undang-undang itu yang diluluskan oleh dewan rendah minggu lalu, akan dikuatkuasakan selepas menerima kebenaran rasmi daripada presiden dalam tempoh beberapa hari lagi.
Selain hukuman penjara dan denda, undang-undang itu akan mengarahkan lelaki Islam memberi sokongan kewangan kepada isteri yang juga akan mendapat hak jagaan anak.
Mahkamah Tinggi pada 2017 membuat keputusan itu selepas beberapa wanita Islam menghantar petisyen, mendakwa kuasa sebelah pihak lelaki Islam untuk mengakhiri perkahwinan itu, melanggar perlembagaan Islam terhadap hak asas sama rata.
Wanita Islam berkata mereka diceraikan menerusi surat atau aplikasi mesej WhatsApp, menyebabkan mereka terkontang-kanting tanpa sebarang bantuan undang-undang.
India tidak ada undang-undang perkahwinan, perceraian dan harta yang seragam.
Perlembagaan republik itu membenarkan pengikut setiap kepercayaan menggunakan undang-undang agama masing-masing untuk menguruskan perkara berkenaan, termasuk 180 juta umat Islam, minoriti terbesar dalam negara didominasi oleh penganut Hindu itu. – AFP, 31 Julai, 2019.
Komen