130 tahanan di Mesir mogok lapar


KIRA-kira 130 tahanan di Mesir mengadakan mogok lapar masuk enam minggu sebagai bantahan kepada keadaan penjara dan larangan lawatan ke atas keluarga, kata Amnesty International.

Kebanyakan yang mogok di penjara Al-Aqrab di selatan Kaherah itu ditahan lebih dua tahun dan tidak dibenarkan dilawat ahli keluarga atau peguam, kata kumpulan hak asasi itu.

Memetik kenyataan tahanan, Amnesty berkata sejak mogok dilancarkan pada 17 Jun lalu, pihak berkuasa memukul tahanan dan mengenakan renjatan elektrik.

“Keadaan penjara yang kotor dan tidak berperikemanusiaan, ditambah pula tahanan dihalang bertemu keluarga dan peguam mereka… tahanan tidak tahan lagi dengan keadaan ini,” kata Timbalan Ketua Amnesty Timur Tengah dan Afrika Utara, Magdalena Mughrabi.

“Pihak berkuasa Mesir secara terang-terangan melanggar undang-undang negara dan antarabangsa, serta memperlihatkan kekejaman mereka apabila menghalang tahanan bertemu keluarga.”

Dua keluarga yang ditemui Amnesty berkata walaupun mereka mendapat kebenaran daripada Pendakwaan Keselamatan Tertinggi Negara, pihak penjara enggan membenarkan mereka melawat saudara yang ditahan. – AFP, 31 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen