Pentadbiran Trump kejam, 1,000 anak imigran terpisah daripada keluarga


Presiden Donald Trump umum dasar mengasingkan anak imigran di sempadan Mexico dihentikan selepas protes besar-besaran berlangsung, tetapi sebenarnya ia masih diteruskan. – Gambar fail AFP, 31 Julai, 2019.

HAMPIR 1,000 kanak-kanak pendatang haram terpisah daripada keluarga mereka di sempadan AS-Mexico sepanjang tahun lalu walaupun hakim mengarahkan pentadbiran Presiden Donald Trump menghentikan amalan itu, kata kumpulan hak asasi manusia.

The American Civil Liberties Union (ACLU) dalam satu permohonan kepada mahkamah di San Diego berkata pentadbiran itu menuduh ibu bapa melakukan aktiviti jenayah kanak-kanak, dan mengabaikan arahan dengan terus mengasingkan kanak-kanak di sempadan.

Satu contoh ialah seorang bapa yang dipisahkan daripada anak perempuannya yang baru berusia setahun hanya kerana dia tidak menukar lampin pakai buang bayi itu.

Satu lagi kes membabitkan seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun terpisah daripada bapanya kerana tidak dapat membuktikan mereka memang anak-beranak. Keluarga itu mengambil ujian DNA yang mengesahkan mereka anak dan bapa, tetapi sementara proses itu dilakukan, kanak-kanak terbabit didera secara seksual ketika dalam tahanan, menurut laporan di mahkamah.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terpisah kerana bapanya ada masalah pertuturan yang menyekatnya menjawab soalan ejen pengawal sempadan, kata pengadu.

“Sangat mengejutkan pentadbiran Trump terus-terusan merampas bayi daripada ibu bapa mereka,” kata peguam ACLU, Lee Gelernt.

“Lebih 900 keluarga tambahan kepada ribuan yang lain sebelum ini mengecam dasar kejam dan tidak sah ini. Pentadbiran itu tidak sepatutnya melanggar perintah mahkamah,” katanya.

Pentadbiran Trump mula memisahkan anak daripada ibu bapa mereka pada Mei tahun lalu sebagai sebahagian daripada dasar “toleransi sifar” terhadap pendatang haram yang menyeberang masuk ke sempadan AS.

Tetapi enam minggu selepas pelaksanaan dasar itu, Trump mengumumkan pentadbirannya akan menghentikan perbuatan itu kecuali jika ibu bapa terbabit memberi risiko kepada anak mereka. – AFP, 31 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen