Pelajar sertai protes dibunuh, Sudan arah tutup sekolah


Ratusan pelajar berpakaian uniform sekolah dan mengibarkan bendera turun ke jalanan di Khartoum, Sudan menyertai protes kekurangan roti dan minyak. – Gambar AFP, 31 Julai, 2019.

PIHAK berkuasa Sudan hari ini mengarahkan sekolah di seluruh negara ditutup selepas sekumpulan pelajar melancarkan demonstrasi terhadap pembunuhan enam penunjuk perasaan termasuk lima pelajar pada satu himpunan di ibu kota.

“Bunuh pelajar maknanya bunuh negara,” laung ratusan murid, berpakaian uniform sekolah dan mengibarkan bendera Sudan, ketika mereka turun ke jalanan di Khartoum membantah pembunuhan di Al-Obeid pada Isnin.

Protes disertai murid turut diadakan di beberapa kawasan di ibu kota itu dan bandar lain.

Lima pelajar sekolah menengah ditembak mati dan lebih 60 yang lain cedera, oleh penembak tepat ketika mereka berhimpun di Al-Obeid kerana kekurangan roti dan minyak, kata gerakan protes dan penduduk.

Lewat petang semalam, jawatankuasa doktor yang rapat dengan gerakan protes itu berkata penunjuk perasaan keenam mati selepas ditembak di kepala.

Jawatankuasa itu tidak mengesahkan sama ada yang mati itu pelajar juga atau tidak.

Penunjuk perasaan menuduh para tentera RSF menembak mati remaja berkenaan.

“Arahan dikeluarkan kepada semua gabenor untuk menutup tadika, sekolah rendah dan menengah bermula hari ini hingga notis diberitahu kelak,” kata agensi berita SUNA, susulan arahan dikeluarkan oleh majlis tentera.

Pembunuhan itu berlaku sehari sebelum pemimpin protes dijadualkan mengadakan rundingan dengan jeneral berkenaan aspek mengembalikan ketenteraman awam selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian perkongsian kuasa awal bulan ini.

Tetapi pemimpin protes membatalkan mesyuarat semalam. – AFP, 31 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen