KOREA Utara hari ini sekali lagi melancarkan senjata yang tidak dapat dikenal pasti, kata Korea Selatan beberapa hari selepas membedil dua peluru berpandu balistik sebagai amaran kepada negara jirannya itu supaya menghentikan latihan eksais perang bersama dengan Amerika Syarikat (AS).
Beberapa peluru dibedil dari kawasan Wonsan di pantai timur pada awal pagi, kata pegawai ketua turus staf Korea Selatan.
“Pada masa ini kami tidak tahu sejauh mana ia pergi dan masih menganalisisnya sambil bersedia untuk pelancaran tambahan,” katanya.
Tiada kenyataan dari Korea Utara mengenai pelancaran itu, yang dilakukan enam hari selepas pemimpinnya, Kim Jong-un secara peribadi mengarahkan dua peluru berpandu dilancarkan walaupun selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump bulan lalu.
Pyongyang dan Washington dalam proses diplomatik berhubung program senjata nuklear Korea Utara dan peluru berpandu balistik yang menyaksikan tiga pertemuan berprofil tinggi antara pemimpin kedua-dua negara dalam masa setahun.
Korea Utara mengatasi pemulauan dan sekatan selama bertahun-tahun untuk membina pertahanannya dan tidak menyerahkan senjata, sambil membuktikan ia mampu memanjangkan rundingan.
Kim dan Trump bersetuju menyambung semula rundingan nuklear ketika perjumpaan tidak dirancang Jun lalu di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara, tetapi sehingga kini dialog belum bermula.
Pyongyang memberi amaran rundingan boleh tergendala kerana keengganan Washington dan Seoul membatalkan latihan perang tahunan antara tentera negara masing-masing. – AFP, 31 Julai, 2019.
Komen