RASUAH dan kurang penguatkuasaan ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional merupakan dua sebab utama peingkatan jumlah kes pencemaran sungai baru-baru ini, kata kumpulan aktivis alam sekitar.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, pentadbiran sebelum ini gagal memberi keutamaan dalam pengurusan alam sekitar ditambah pula dengan kurang penguatkuasaan, masalah berkenaan kini semakin meruncing.
Menurutnya, segala dasar sudah mencukupi, mereka hanya tidak fokus dan boleh lakukan lebih banyak cara untuk mengelakkan pencemaran sungai yang menjejaskan masyarakat.
Pada Mac lalu, sisa toksik dibuang di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang menyebabkan lebih 6,000 orang termasuk pelajar mengalami masalah sukar bernafas.
Pengasas EcoKnights, Yasmin Rasyid berkata, kerajaan sebelum ini sepatutnya memberi lebih keutamaan terhadap isu alam sekitar.
“Saya rasa kerajaan terdahulu tidak terlalu fokus dan tidak meletakkan iu alam sekitar sebagai agenda utama negara.
“Memang ada dasar yang bagus tetapi kurang penguatkuasaan. Saya percaya sebelum ini terdapat penyelewengan dalam kerajaan yang menyebabkan sungai terabai.
“Apa yang berlaku di Sungai Kim Kim merupakan petunjuk bahawa krisis ini memberi kesan kepada sistem sungai kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.

EcoKnights ditubuhkan pada 2005 sebagai sebuah organisasi alam sekitar tidak berasaskan keuntungan yang memenuhi keperluan pihak berkepentingan ke arah pembangunan lestari di Malaysia.
Yasmin berkata pencemaran paling besar adalah daripada bahan kimia dan sisa toksik dari kawasan perindustrian, seperti apa yang dilihat di Sungai Kim Kim.
“Sebarang aktiviti ekonomi yang menyebabkan penghasilan air buangan, sisa toksik, sekiranya tidak dirawat dengan betul akan mengalir ke sungai kita.”
“Mengapa syarikat yang didapati mencemarkan alam sekitar masih diberi lesen untuk beroperasi.
“Sekiranya syarikat ini tidak pedulikan alam sekitar, mengapa kerajaan memperbaharui lesen dan membenarkan mereka beroperasi.
“Syarikat swasta perlu bertanggungjawab ke atas bagaimana perniagaan mereka memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.
Yasmin berkata terdapat undang-undang yang mencukupi, namun pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan perlu dijalankan.
“Saya percaya kebanyakan dasar dan undang-undang kita mencukupi. Apa yang saya tidak gembira atau kecewa ialah dengan pelaksanaan dasar dan hukuman yang disertakan bersamanya.
“Rakyat Malaysia perlu lebih bertanggungjawab dan serius dalam menguatkuasakan undang-undang ini.”
Yasmin berkata, adalah penting untuk adanya ketelusan dan akauntabiliti.
“Kerajaan Pakatan Harapan sekarang harus fokus,” katanya.
Ini terbukti dengan langkah diambil oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.
“Kita dapat melihat terdapat perubahan yang lebih progresif dan menteri dilihat serius menangani isu-isu tersebut.
“Kerajaan memberi tumpuan kepada isu ini tetapi mesti ingat bahawa penyebabnya adalah dari sektor swasta dan sementara kita terus bercakap tentang peranan serta tanggungjawab kerajaan, mereka mesti menangani isu kilang haram,” katanya.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata semua peringkat kerajaan terutama yang terlibat dalam perancangan dan kelulusan aktiviti di sepanjang sungai juga harus bertanggungjawab memastikan sungai tidak dijadikan lokasi pembuangan sampah.
“Masalahnya terdapat banyak aktiviti yang mempengaruhi apa yang mengalir ke dalam sungai kita seperti sisa industri, kumbahan, sisa pertanian dan pembuangan, aktiviti pembinaan, sisa rumah, penebangan hutan, aktiviti pembersihan tanah serta aktiviti perlombongan.
“Pelbagai aktiviti itu datang dalam pemerintahan berbeza terdiri daripada pihak berkuasa persekutuan, negeri dan perbandaran.
“Sentiasalah menjadikan sungai bersih dari apa saja kegiatan yang dibenarkan sepanjang sungai termasuk lembangan sungai dari hulu ke hilir sungai,” katanya.

Meenakshi berkata peranan ini tidak boleh hanya diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar dalam mengawal pencemaran, pemantauan dan penguatkuasaan serta Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Kita mesti mengambil pendekatan bahawa sungai tidak dapat mencairkan semua bahan pencemar yang masuk ke dalamnya, mereka ada had dan apabila ia dilanggar, sungai akan tercemar dengan serius dan mati.
“Oleh itu kita mesti mengkaji semula cara lesen untuk membuang bahan buangan yang dikeluarkan dan mula melihat sungai sebagai sebahagian daripada ekosistem yang lebih besar dan bukannya sedikit demi sedikit.
“Kami memerlukan pendekatan yang lebih komprehensif dan holistik dengan batasan sejauh mana sungai boleh menyerap pencemaran,” katanya.
Beliau berkata, mengikut data DOE antara 2013 dan 2017, kualiti air sungai telah merosot dan tidak sihat.
“Data menunjukkan dengan jelas kualiti air sungai kita tidak semakin bersih tetapi semakin teruk,” katanya.
Meenakshi juga bersetuju bahawa ia bukan kurangnya undang-undang tetapi lebih kepada kurang penguatkuasaan dengan berkesan.
“Ia juga mengenai peningkatan pemantauan sungai-sungai. Ini jelas tidak mencukupi dalam insiden di Pasir Gudang,” katanya. – 31 Julai, 2019.
Komen