SEPASANG warga emas mencetuskan kekecohan di Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang selepas dihalang daripada menyebarkan ajaran Kristian kepada pesakit beragama Islam.
Pasangan berusia 70-an itu didakwa menyebarkan ajaran berkenaan melalui buletin gereja, yang merupakan akhbar mingguan gereja.
Ketua Polis Derah Klang Utara Nurul Huda Mohd Salleh berkata pasangan terbabit dibawa ke balai polis yang mana mereka kemudiannya mendakwa tidak tahu menyebarkan ajaran Kristian kepada orang Islam secara terbuka adalah salah di sisi undang-undang.
“Mereka kemudiannya dibebaskan dengan amaran,” katanya.
Insiden berkenaan turut dirakam dan videonya tersebar di media sosial.
Gambar buletin gereja dan video kakitangan klinik berkenaan bercakap dengan wanita terbabit turut tular.
Pasangan berkenaan memberitahu polis, mereka tidak memaksa pesakit memgambil risalah atau buletin yang dibawa.
Wanita berkenaan memberitahu polis, sekiranya pesakit enggan mengambil buletin itu, mereka akan beredar dan dia melakukannya kerana bersyukur tuhan memberikannya kesihatan.
Nurul Huda berkata, wanita terbabit juga memberitahu polis dia melakukannya secara sendirian dan tidak disokong oleh mana-mana kumpulan atau individu.
Ketua polis itu berkata pasangan berkenaan memberikan kerjasama ketika kenyataan mereka diambil dan dinasihatkan agar tidak terus mengedarkan risalah berkenaan.
“Mereka dibebaskan selepas keterangan diambil dan dinasihat agar tidak mengulanginya.
Katanya pasangan itu juga tidak ditahan sebagaimana dakwaan yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp. – 30 Julai, 2019.
Komen