BEKAS Datuk Bandar Tehran Mohammad Ali Najafi dijatuhi hukuman mati setelah disabitkan atas kesalahan membunuh isterinya, kata badan kehakiman hari ini setelah kes berprofil tinggi itu mendapat liputan media yang luas.
Jurucakap kehakiman Iran Gholamhossein Esmaili berkata, seorang reformis terkemuka Najafi didapati bersalah menembak mati isteri keduanya Mitra Ostad di rumah mereka pada 28 Mei.
Menurut laporan media Iran, mayat mangsa ditemui dalam tab mandi selepas Najafi meletakkannya di situ dan mengaku membunuh mangsa.
“Najafi dituduh membunuh dan memiliki senjata api yang direncanakan.
“Mahkamah telah membuktikan pembunuhan itu dirancang dan Najafi dijatuhkan hukuman mati,” katanya.
Esmaili berkata, Najafi menerima hukuman penjara dua tahun kerana memiliki senjata api secara haram.
“Hukuman belum diputuskan dan tertuduh boleh membuat rayuan di mahkamah tertinggi,” katanya.
Keluarga Ostad telah membuat rayuan terhadap undang-undang syariat Islam yang akan dikenakan – satu bentuk hukuman “mata untuk mata” yang akan menyaksikan hukuman mati dikenakan dalam kes ini.
Perbicaraan Najafi mendapat liputan terperinci dalam media negara berikutan skandal berkaitan ahli politik jarang muncul di televisyen.
Seorang ahli matematik, professor dan ahli politik veteran, Najafi pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi Presiden Hassan Rouhani.
Beliau dipilih sebagai Datuk Bandar Tehran pada Ogos 2017 tetapi meletak jawatan pada April selepas dikritik kerana menghadiri persembahan tarian yang dilakukan oleh pelajar sekolah.
Najafi berkahwin dengan Ostad tanpa menceraikan isteri pertamanya. – AFP, 30 Julai, 2019.
Komen