PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi cuba meredakan kebimbangan berkenaan kekurangan dana parti dengan mengatakan ramai orang yang bersimpati akan membantu sekiranya Umno kembali mendapatkan kekuatannya.
Beliau berkata keadaan kewangan parti yang terjejas selepas akaun Umno dibekukan dan sebahagian dana dirampas untuk siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan kembali normal apabila parti mendapatkan semula kuasanya.
“Saya kata segala-galanya memerlukan wang tapi wang bukan segalanya. Masih ramai di luar sana yang bersimpati dengan kesusahan Umno sekarang. InsyaAllah mereka akan bantu kita,” katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan Zon Tengah Sabah di Keningau hari ini.
Zon 4 Umno Sabah terdiri daripada delegasi dari empat bahagian iaitu Keningau, Tenom, Ranau dan Pensiangan.
Zahid berkata, buat masa ini ramai individu takut untuk tampil membantu Umno kerana sebelum ini duit parti itu dijana melalui proses pengumpulan dana.
“Sekarang mereka tidak mahu membantu kami kerana mereka takut mungkin menjadi mangsa kerana menyokong Umno.
“Tetapi jika mereka melihat kita kuat dan dapat menawan semula Putrajaya serta Sabah, saya yakin mereka tidak akan teragak-agak untuk ke depan dan membantu kita,” katanya.
Terdahulu Zahid menegaskan Umno tidak akan mengetepikan Umno Sabah dan akan membantu dari segi pembiayaan calon dalam pilihan raya umum akan datang walaupun kekurangan dana.
Katanya, bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor yang disifatkanya sebagai “bakteria” kerana melompat ke parti Bersatu ada menyerahkan memorandum kepada Umno untuk memberikan Umno negeri autonomi.
“Saya secara prinsipnya bersetuju dengan permintaan Umno Sabah. Kami hanya mengesahkan memorandum itu pada November ini apabila parti mengadakan mesyuarat agung tahunannya nanti.
“Kami mahu Umno Sabah mempunyai autonomi supaya mereka ada kuasa sendiri untuk buat keputusan termasuk kuasa memilih calon sendiri,” katanya. – 30 Julai, 2019.
Komen