KEBAKARAN hutan yang sering berlaku di Siberia, Rusia dikhuatiri akan mencetuskan impak jangka panjang terhadap alam sekitar.
Ia melibatkan kawasan berjuta hektar yang menghasilkan asap hitam dan beracun yang mana menurut kumpulan aktivis alam sekitar, bencana itu mampu mencairkan ais di Artik.
Lebih 3.2 juta hektar kawasan di Siberia mengalami kebakaran pada Isnin, yang mana ia melibatkan sebahagian besar kawasan Yakutia di utara dan Krasnoyarsk dan Irkutsk, kata pihak berkuasa.
Kebakaran itu dicetuskan oleh ribut petir dan disebarkan oleh angin kencang, kata agensi perhutanan Rusia.
Kepulan asap bukan sahaja menjejaskan kawasan penempatan kecil tetapi turut memberi kesan kepada bandar di Barat Siberia dan di wilayah Altai seperti Urals, Chelyabinsk dan Yekaterinburg.
Malah asap hitam berkenaan turut menjejaskan operasi penerbangan.
“Keadaan asap hitam itu sangat dahsyat. Saya sendiri lemas dan pening,” kata seorang pesara Raisa Bovkina yang dimasukkan ke hospital di bandar Novosibirsk.
Pada Ahad, asap yang terhasil daripada kebakaran itu turut mencemari ruang udara Kazakhstan.
“Kadar pencemaran udara yang lebih teruk daripada biasa” turut direkodkan di beberapa bandar seperti Nur-Sultan, kata perkhidmatan meteorologi Kazakh. – AFP, 30 Julai, 2019.
Komen