Mangsa rogol di India terlibat kemalangan


Lebih banyak protes telah dirancang di New Delhi dan Lucknow susulan kemalangan kereta yang menyebabkan kecederaan parah seorang remaja yang mendakwa ahli Parlimen dari parti memerintah merogol dan melakukan gangguan seksual terhadapnya. – Gambar AFP, 30 Julai, 2019.

PROTES baharu meletus di India hari ini di tengah kemarahan orang awam yang semakin meningkat susulan kemalangan kereta yang menyebabkan kecederaan parah seorang remaja yang mendakwa ahli Parlimen dari parti memerintah merogol dan melakukan gangguan seksual terhadapnya.

Dua ibu saudara remaja berusia 19 tahun itu terbunuh dan peguamnya cedera parah apabila sebuah trak bertembung dengan sebuah kereta di utara Uttar Pradesh Ahad lepas yang menimbulkan kecurigaan berkemungkinan wujudnya agenda kotor.

Insiden itu akan disiasat oleh penyiasat persekutuan di mana ada spekulasi polis tempatan memihak kepada suspek yang merupakan penggubal Partai Bharatiya Janata (BJP) Kuldeep Singh Sengar.

Sengar yang memegang jawatan sebagai ahli Parlimen selama empat tahun telah dipenjarakan sejak tahun lepas tetapi laporan mengatakan dia masih mempunyai pengaruh yang besar.

Remaja berkenaan dan peguamnya kini sedang dirawat di sebuah hospital di ibu negeri.

Remaja itu menuduh Sengar merogolnya di rumahnya di daerah Unnao pada 2017 tetapi polis pada awalnya enggan mengambil sebarang tindakan.

Ayahnya ditahan oleh polis dan dipukul dalam tahanan kerana didakwa oleh abang Sengar sehingga meninggal dunia akibat cedera parah.

Remaja itu juga cuba untuk membakar dirinya di luar rumah Ketua Menteri Yogi Adityanath.

Hari ini, ahli parti pembangkang melaungkan slogan ketika mereka membantah di luar Parlimen kebangsaan.

Ahli Kongres Trinamool Mahua Moitra berkata, kerajaan BJP perlu memberi jawapan bagaimana ahli Parlimen yang berada dalam penjara dapat merancang serangan pembunuhan seperti ini.

Ahli keluarga remaja berkenaan juga mengadakan protes di luar hospital Lucknow dan menuduh Sengar yang memberi arahan agar kemalangan itu dilakukan.

Demonstrasi diikuti perhimpunan lewat semalam dengan penyokong memegang sepanduk dengan kata-kata “anda tidak bersendirian” dalam bahasa Hindi.

Lebih banyak protes telah dirancang di New Delhi dan Lucknow pada hari ini.

Seorang aktivis menulis di Twitternya, “Kami menuntut keadilan untuk mangsa dan keluarganya yang terpaksa berdepan dengan insiden ngeri yang tidak dapat digambarkan,”. – AFP, 30 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen