Gerakan sasar jadi pembangkang terbaik di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Parti komponen Barisan Nasional (BN), Gerakan sudah menemui semula kekuatan politiknya – mendekati akar umbi sebagai pembangkang dalam matlamatnya untuk berkhidmat kepada Pulau Pinang.

Pengerusi Gerakan negeri Teng Chang Yeow bukannya berangan; beliau dan jenteranya tahu sangat yang mereka tidak boleh menawan semula Pulau Pinang, yang pernah menjadi kubu kuat Gerakan dari 1969 hingga Mac 2008, daripada DAP.

Walaupun Gerakan tidak menjalankan kaji selidik yang sempurna mengenai sentimen pengundi, parti itu tidak “memimpikan sesuatu yang tidak mampu dicapai”, katanya.

“Terimalah hakikat. Anda tidak boleh ambil negeri di mana anda tidak ada kerusi langsung,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ya, ada orang tidak gembira dengan pentadbiran DAP, tetapi mereka tidak akan undi BN untuk mengubah kerajaan kali ini.”

Tetapi, Gerakan tetap menghantar 50 nama kepada Pengerusi BN dan Perdana Menteri Najib Razak untuk dipertimbangkan sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Separuh daripada calon berkenaan muka baharu, kata Presiden Gerakan Mah Siew Keong dipetik sebagai berkata kepada The Star.

Beliau berkata mereka yang disenarai pendek itu sudah bekerja keras dan turun padang sebagai koordinator di kawasan Parlimen dan DUN, berusaha keras membawa Gerakan ke peringkat lebih tinggi.

Gerakan ditubuhkan pada awal 1968. Ia bertanding sebagai parti pembangkang pada PRU 1969 dan menang 16 daripada 24 kerusi di Pulau Pinang, yang sebelum itu dikawal MCA, komponen Parti Perikatan.

Susulan konflik dalaman, Gerakan menyertai Perikatan, yang kini BN, pada 1973 – menjadi ahli gabungan pemerintah yang mentadbir kerajaan persekutuan. Ia menikmati lebih 30 tahun memegang kuasa di Pulau Pinang.

Tetapi parti itu kalah teruk pada PRU 2008 dan 2013, di mana ia gagal memenangi satu kerusi pun di DUN dan Parlimen. Hanya Umno berjaya mengekalkan 11 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen pada 2008, dan kemudiannya 10 kerusi DUN dan tiga parlimen pada PRU13.

Dalam persiapan untuk PRU14, Teng berkata Gerakan berharap dapat sokongan warga Pulau Pinang dalam menjadi salah satu suara pembangkang terkuat terhadap kerajaan negeri.

Pemimpin muda akan menjadi muka depan untuk parti itu dalam memberi harapan dan menunjukkan kepada warga Pulau Pinang yang Gerakan mampu menjadi pembangkang efektif dengan pemahaman kukuh mengenai bagaimana kerajaan berfungsi dan dasar dibuat.

“Kami tidak bangkang, semata-mata hanya untuk membangkang. Kami bentang fakta dan hujahan munasabah berdasarkan kepada pemahaman kami terhadap sistem itu,” katanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Gerakan Pulau Pinang giat mengadakan sidang akhbar untuk membangkitkan pelbagai isu. Terdapat sekurang-kurangnya satu atau dua pertemuan dengan media setiap minggu.

Antara pemimpin muda yang sedang dilatih dan diberikan pendedahan ialah Jason Loo, pemangku ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang yang menonjolkan isu membabitkan Enakmen Kebebasan Maklumat dan masalah tempatan lain.

Beliau berkata Gerakan – atas inisiatif sendiri dan susulan aduan orang ramai – membangkitkan pelbagai isu termasuk alam sekitar, penambakan tanah, perumahan, warisan, peningkatan kepadatan pembangunan, pekerja asing dan kampung.

“Kami perlu turun padang, bekerja kerja untuk menunjukkan yang tindakan periksa dan imbang Gerakan akan memberi manfaat kepada mereka.

“Lebih ramai orang berkongsi masalah mereka dengan kami sekarang. Bila saya jumpa orang daripada pelbagai latar belakang, mereka kata saya buat perkara yang betul. Itu satu motivasi bagi saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Loo, seorang peguam berkata pengundi marah apabila ahli politik tidak mengambil serius masalah rakyat.

“Kami harap rakyat memilih calon yang tepat berdasarkan pada apa yang mereka perjuangkan, bukan individu yang mencetuskan kebencian,” katanya.

Loo, yang tewas dengan DAP di kerusi DUN Air Itam pada PRU lalu, mengakui penerimaan di media sosial lebih kasar, di mana beliau terpaksa berdepan dengan kritikan pengguna media sosial.

“Akan ada mesej biadab dan tidak relevan di Facebook, tidak kira betapa konstruktif pun saya di sidang akhbar dalam memantau isu dalam negeri,” katanya.

Sama seperti semua parti dalam BN, Gerakan turut berdepan kritikan ketika gabungan pemerintah itu berdepan skandal dan kemarahan rakyat berhubung peningkatan kos sara hidup dalam negara.

Melihat kepada suasana politik itu, Teng yang juga pengerusi BN Pulau Pinang mengakui perjuangan berat akan berterusan di Pulau Pinang.

“Kami perlu berjuang hingga mati,” katanya. – 16 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen