DEWAN Tinggi Parlimen India (Rajya Sabha) hari ini membahaskan rang undang-undang (RUU) melarang talak tiga sekali gus kerana ia meremeh dan menindas wanita, lapor India Today.
RUU itu diluluskan di Dewan Rendah (Lok Sabha) Khamis lalu dengan sokongan majoriti.
Parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) mengarahkan semua ahli Parlimennya hadir pada perbahasan di Dewan.
RUU itu melarang lelaki Islam menjatuhkan talak tiga ke atas isteri mereka yang membawa hukuman penjara jika sabit kesalahan. Ia merupakan RUU pertama yang dibentangkan oleh kerajaan selepas Narendra Modi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri bagi penggal kedua pada Mei.
Kerajaan Modi menegaskan RUU tersebut adalah sebagai usaha memberi keadilan dan kesaksamaan jantina selain memelihara maruah kaum wanita.
Parti pembangkang iaitu Kongres, Kongres Trinamool dan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) mendesak usul itu dibawa ke jawatankuasa tetap Parlimen untuk diteliti.
Pada Ogos 2017, Mahkamah Agung India melarang perceraian talak tiga dan memutuskan amalan itu tidak mengikut perlembagaan. – 30 Julai, 2019.
Komen