RAJA Maghribi Raja Mohammed VI berkenan mengampunkan ribuan tahanan termasuk mereka yang terlibat dalam gerakan bantahan “Hirak” pada 2016, sempena ulangtahun ke-20 tahun pemerintahan baginda semalam.
Menurut kenyataan rasmi, seramai 4,764 orang termasuk tahanan bantahan di wilayah utara Rif itu diberi pengampunan. Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan.
Gerakan “Al-Hirak al-Shaabi” atau “Popular Movement” bermula selepas kematian seorang nelayan yang kemudian mencetus tuntutan terhadap lebih banyak pembangunan, peluang pekerjaan dan tindakan ke atas amalan rasuah.
Dikatakan lebih 400 orang yang terlibat dengan bantahan Hirak ditangkap. Tiada angka rasmi dilaporkan.
Kira-kira 250 orang telah diberi pengampunan sebelum ini.
Raja Mohammed VI, 55, menggantikan tempat bapanya, Raja Hassan II pada 1999 semalam memuji kemajuan dalam infrastruktur dan kebebasan di Maghribi tetapi pada masa sama bertitah usaha lebih giat masih diperlukan. – AFP, 30 Julai, 2019.
Komen