INDONESIA semalam menghantar balik tujuh kontena sampah sampah yang diimport secara haram ke Perancis dan Hong Kong, kata pihak berkuasa negara itu.
Kontena tersebut berisi sisa buangan plastik, sampah-sarap dan bahan berbahaya yang melanggar peraturan import, menurut pegawai kastam di Pulau Batam.
“Kontena dihantar balik semalam dan beberapa pegawai berada di lokasi untuk memantau,” kata ketua di pejabat kastam, Susila Brata.
Terdahulu, seorang jurucakap kastam berkata lima kontena dihantar semula ke Hong Kong, manakala dua lagi ke Perancis.
Pihak berkuasa Indonesia masih menunggu pelepasan bagi 42 lagi kontena berisi sisa sampah di pelabuhan termasuk penghantaran dari Amerika Syarikat, Australi dan Jerman.
Sejak beberapa bulan lalu Indonesia meningkatkan pemantauan ke atas sisa sampah yang diimport untuk mengelakkan negara itu terus menjadi tempat buangan sampah negara asing. – AFP, 30 Julai, 2019.
Komen