DAP hari ini mempertikaikan adakah sekolah kini menjadi “kem indoktrinasi” selepas murid sebuah sekolah rendah di Putrajaya diarahkan mengibarkan bendera Umno dan menyanyikan lagu parti itu ketika lawatan seorang menteri Umno semalam.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata guru yang mengarahkan murid berbuat demikian patut menggelar diri mereka sebagai ahli politik.
“Ini pembasuhan otak kanak-kanak, menyuruh mereka menyanyi lagu Umno, laung slogan parti dan mengibarkan bendera Umno.
“Ini salah guna kuasa, dana dan institusi untuk tujuan politik. Ini kempen politik membabitkan murid sekolah rendah. Mereka buat sekolah jadi kem indoktrinasi,” katanya yang juga ketua menteri Pulau Pinang.
Lim berkata insiden itu mencemar sistem pendidikan negara, mendesak supaya berhenti mempolitikkan pendidikan di sekolah dan mengambil tindakan terhadap guru besar.
“Bagaimana guru boleh membawa politik ke sekolah dan bilik darjah, ini salah.
“Ini memerlukan tindakan serius oleh pihak berkuasa. Kita tidak pernah lihat insiden seperti ini berlaku. Ini hanya berlaku di tempat seperti Korea Utara. Mungkin itulah hala tuju kita sekarang.
“Tidak tahu malu langsung, bila institusi awam boleh digunakan untuk kepentingan peribadi dan politik,” katanya.
Lim mengulas mengenai klip video yang menunjukkan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor melawat sebuah sekolah rendah di Presint 14, Putrajaya semalam.
Video itu menunjukkan beliau membuat pemeriksaan di sekolah itu sementara muridnya menyanyikan lagu Umno dan mengibarkan bendera parti.
Tengku Adnan turut menyampaikan hadiah untuk pertandingan “Umno dan Kemerdekaan”.
Lim membandingkan lawatan Tengku Adnan ke sekolah dengan pengalamannya sendiri yang dilarang melawat sekolah rendah Cina di Sungai Lembu, Penanti pada penghujung Ogos.
Beliau yang memberikan sedikit dana kepada sekolah itu dijemput oleh lembaga pengarah sekolah untuk datang melawat, di mana tidak ada guru dan murid ke sekolah.
Tetapi beliau dilarang memasuki kawasan sekolah. Kerajaan negeri kemudian dimaklumkan yang mereka perlu mendapatkan kebenaran menteri pendidikan jika ada ketua menteri atau menteri besar hendak melawat sekolah.
“Bila kami lawat sekolah, ia untuk melihat sama ada mereka memerlukan peruntukan atau tidak. Berat sebelah betul,” katanya.
Ketika lawatannya ke sekolah di Putrajaya itu, Tengku Adnan dilaporkan turut mempelawa guru menyertai Umno dan bertanding dalam parti.
Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa hari ini berkata tidak ada isu jika guru, yang juga penjawat awam mahu menyertai Umno. – 4 Oktober, 2017.
Komen